Warga perpustakaan diseru perkukuh budaya inovasi

KENINGAU: Warga Perpustakaan Negeri Sabah diseru memperkukuh budaya inovasi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memenuhi keperluan masyarakat.

Pengarah Perpustakaan Negeri, George Yih Ching Yaw berkata, inovasi perlu menjadi sebahagian daripada budaya kerja bagi menggalakkan warga perpustakaan mencari pendekatan baharu untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan.

“Inovasi bermula dengan satu persoalan mudah tentang bagaimana sesuatu tugas atau perkhidmatan boleh dilaksanakan dengan lebih efisien.

“Persoalan tersebut boleh membawa kepada penambahbaikan proses kerja, penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, pengurusan sumber yang lebih cekap serta pengalaman pengguna yang lebih baik.

“Justeru, saya berharap agar warga Perpustakaan Negeri Sabah terus berani mengemukakan idea kreatif dan mencari pendekatan baharu yang dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kita.

“Pengiktirafan terhadap inovasi juga penting, bukan semata-mata untuk menentukan siapa yang menang, tetapi sebagai tanda penghargaan terhadap idea, usaha dan keberanian mencipta sesuatu yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Tahun 2026 Peringkat Perpustakaan Negeri Sabah di Mini Dewan Perpustakaan Cawangan Keningau, di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting dalam melahirkan generasi yang mempunyai kemahiran dan kreatif untuk menyokong pembangunan pelbagai sektor, termasuk teknologi dan ekonomi digital di Sabah.

“Penganjuran pertandingan STEM pada hari ini selaras dengan hasrat kita untuk menjadikan perpustakaan bukan sahaja tempat mendapatkan buku dan maklumat, tetapi juga ruang untuk anak-anak meneroka, mencipta dan mengembangkan idea.

“Perpustakaan boleh menghubungkan ilmu dengan kreativiti, kreativiti dengan inovasi, dan inovasi dengan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) menyaksikan Kumpulan Zen Maverick yang mewakili Perpustakaan Cawangan Sandakan dinobatkan sebagai johan, manakala pertandingan reka cipta STEM dimenangi SMK Sook dan SK Binakaan, Sook, masing-masing bagi kategori sekolah menengah dan sekolah rendah.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Keningau, Christine Tiffany Charlse Lohindun, Timbalan Pengarah Perpustakaan Negeri, Pamela Esther Mosinoh dan Ketua Bahagian Penyelidikan dan Inovasi Perpustakaan Negeri, Nelly Joseph Green.