Komuniti MADANI Diseru Perkukuh Perpaduan, Tangkis Berita Palsu

KOTA KINABALU : Komuniti MADANI diseru terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta menangkis penyebaran berita palsu. 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, komuniti berkenaan merupakan barisan hadapan dalam memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan penyebaran berita palsu dan fitnah. 


“Komuniti MADANI perlu memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat, sahih dan bertanggungjawab. 


“Kepelbagaian etnik, budaya dan tradisi di Sabah perlu dijadikan kekuatan untuk menyatukan rakyat serta mengekalkan keharmonian. 


“Usaha menangkis penyebaran berita palsu penting bagi memelihara perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara. 


“Komuniti MADANI perlu terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam menyampaikan dasar dan memupuk semangat kenegaraan,” katanya ketika berucap merasmikan Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan Hari Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam 2026 yang diadakan di Dewan Masyarakat Manggatal di sini, pada Sabtu.


Dalam pada itu, mengulas mengenai bayaran interim RM1.5 bilion di bawah MA63 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mustapha berkata proses seterusnya adalah untuk membawa perkara tersebut kepada jawatankuasa teknikal yang akan bersidang pada 3 Ogos ini.


“Kita akan putuskan secara rasmi dan selepas itu kita akan bentang di Parlimen dan kita akan wartakan dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong dan kemudian barulah pembayaran akan dibuat. 


“Dan apabila diwartakan, ini penting, pembayaran nilai ini akan kekal sehingga disemak semula dan ada perubahan.


“Tetapi yang penting pewartaan ini ialah supaya peruntukan RM1.5 bilion pembayaran interim ini akan dibayar setiap tahun sehingga ada perubahan,” ujarnya. 

Terdahulu, konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 yang diketuai Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor tiba di Dewan Masyarakat Manggatal sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi seterusnya. 

Konvoi yang disertai sebanyak 25 kenderaan berkenaan turut singgah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki.