5,081 graduan bakal dirai pada konvokesyen UMS ke-28

KOTA KINABALU: Seramai 5,081 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS Kali Ke-28 yang dijadual berlangsung dari 28 November hingga 1 Disember 2026.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Raman Noordin berkata, jumlah itu merangkumi graduan daripada pelbagai peringkat pengajian termasuk pascasiswazah, sarjana muda dan diploma.

“Pihak universiti berharap majlis tersebut dapat berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Pada masa sama, majlis itu menjadi peluang untuk meraikan kejayaan para graduan bersama ibu bapa dan keluarga selepas menamatkan pengajian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Jumaat.

Menurutnya, UMS juga telah melahirkan kira-kira 100,000 alumni setakat ini, termasuk graduan yang bakal diraikan pada majlis konvokesyen akan datang.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.