KOTA KINABALU: Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Sabah memberi penekanan kepada pelaksanaan program berasaskan komuniti dengan pengisian disesuaikan mengikut keperluan setiap daerah. Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan perkhidmatan yang dibawa menerusi konvoi KMJG benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
“Kebanyakan program yang kita laksanakan berlangsung di komuniti dan disesuaikan mengikut keperluan setempat. Agensi yang dibawa pula ialah agensi yang mampu menyediakan perkhidmatan berdasarkan keperluan dan harapan masyarakat.
“Sebagai contoh, jika masyarakat di pedalaman memerlukan kemudahan seperti Jualan Rahmah tetapi tinggal jauh dari bandar, kita akan membawa program itu ke kawasan mereka.
“Begitu juga jika terdapat isu berkaitan pendaftaran kelahiran atau urusan pendaftaran lain, agensi berkaitan akan dibawa bersama bagi membantu masyarakat, kita juga akan cuba membawa perkhidmatan lain yang diperlukan iaitu pemeriksaan kesihatan.
“Agensi di bawah Kementerian Komunikasi seperti Pos Malaysia dan Unifi di bawah TM turut menawarkan pakej khas sempena KMJG 2026.
“Kita juga bekerjasama dengan agensi yang menjadi rakan strategik untuk membantu kerja-kerja baik pulih seperti membaiki kerusi dan meja, mengecat pagar sekolah serta membantu keperluan lain yang diperlukan yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti,” katanya semasa sesi temu bual dalam segmen Morning Kinabalu di Kupi-Kupi FM, pada Isnin.
Sementara itu, beliau berkata KMJG 2026 turut mengekalkan inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang dan Satu Bendera Sabah (1R1JG) bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.
“Kita masih kekal membawa inisiatif ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ dan ‘Satu Bendera Sabah’.
“Kerjasama daripada semua pihak, khususnya rakyat Sabah, amat diperlukan bagi memastikan kempen ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Masyarakat tidak semestinya perlu memasang banyak bendera, sebaliknya sekurang-kurangnya setiap rumah mempunyai satu Jalur Gemilang dan satu Bendera Sabah sebagai tanda menghargai sambutan Bulan Kebangsaan,” jelasnya.
Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai pelaksanaan KMJG 2026 dan Sambutan Bulan Kebangsaan menerusi portal Merdeka360 di www.merdeka360.my serta platform media sosial rasmi JAPEN Sabah di Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube.
Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Edi Rizam Kassim dan Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JAPEN Sabah, Nur Aliah Safiah Zulkifly.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)