KOTA KINABALU : Syarikat perkhidmatan e-hailing MAXIM sertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 bagi memperkasa ekonomi gig dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Pengurus Pembangunan MAXIM, Nazrin Muis berkata,
penyertaan syarikat dalam program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah itu menjadi platform untuk mendekati masyarakat sambil membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan melalui sektor ekonomi gig.”Dari sudut ekonomi, ekonomi gig kini menjadi salah satu sektor yang semakin berkembang dan memberi peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan mengikut kemampuan serta masa masing-masing.
“Sebagai penyedia perkhidmatan e-hailing, MAXIM berperanan menghubungkan rakan pemandu dengan pengguna, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada masyarakat tempatan.
“Di Samping itu, melalui penglibatan dalam KMJG, MAXIM turut memainkan peranan mendekati masyarakat akar umbi dan menyampaikan mesej patriotisme supaya lebih ramai rakyat Sabah bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah sempena Bulan Kebangsaan.
“Kami percaya semangat cintakan negara adalah tanggungjawab bersama, bukan sahaja kerajaan, malah sektor swasta, komuniti dan seluruh rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas sesi temu bual radio UMS FM di sini, pada Isnin.
Menurutnya, penglibatan sektor swasta dalam KMJG turut memberi nilai tambah kepada usaha menyemarakkan semangat patriotisme di samping menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kami ingin melaksanakan lebih banyak program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pada masa hadapan dan percaya penyertaan ini membuka peluang lebih besar untuk mendekati golongan yang memerlukan di luar sana.
“MAXIM juga menggalakkan pemberian kod percuma kepada komuniti setempat bukan sahaja kepada golongan muda, malah golongan yang berumur mendapatkan RM30 yang mengurang sedikit beban mereka”, ujarnya.
Beliau berkata, syarikat berharap inisiatif itu bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan, malah meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa MAXIM turut menyediakan peluang menjana pendapatan sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.
Hadir sama, Timbalan Pengarah JAPEN Sabah, Azman Sipan, Penerbit Rancangan UMSfm, Norhazimah Radik dan Khairil Fitri Abdul Karim.