TAWAU : Generasi muda perlu terus diperkasa dengan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara sebagai pewaris yang bakal menerajui masa depan Malaysia.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sri Tanjong, Edmund Lo berkata, semangat kemerdekaan perlu terus disemarakkan dalam kalangan golongan muda melalui penglibatan dalam program yang dapat memupuk rasa cinta akan negara.
“Walaupun kita berbeza, kita tetap kawan. Kita kena saling menghormati, saling memahami dan menjaga keharmonian serta kesejahteraan yang kita nikmati sekarang ini.
“Saya menggalakkan terutamanya golongan muda dan belia mengikuti program seperti ini untuk sama-sama memupuk semangat cinta akan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Tawau, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, KMJG 2026 turut memberi tumpuan kepada golongan pelajar dan belia bagi memperkasakan semangat patriotisme sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah.
“Kami bukan sahaja menyantuni komuniti di sepanjang laluan konvoi KMJG, kami juga menyantuni sekolah-sekolah dan juga universiti-universiti tempatan serta swasta untuk memastikan semangat patriotisme pada bulan ini sama-sama kita perkasakan dan perbaharui semula,” ujarnya.
Jainisah berkata, penglibatan pelajar dalam program berkenaan amat menggalakkan dan pihak sekolah disaran mengadakan lebih banyak program bagi memberi pendedahan kepada golongan muda dalam memupuk semangat cinta akan negara.
Jelasnya, KMJG 2026 turut membawa mesej kepada seluruh rakyat Sabah untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai tanda kesyukuran terhadap kemerdekaan yang dicapai.