KMJG 2026 Buka Ruang Promosi Kraftangan Tempatan

LAHAD DATU : Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 Daerah Lahad Datu membuka ruang lebih luas untuk mempromosikan hasil seni dan kraftangan tempatan kepada masyarakat.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, penglibatan pengusaha kraftangan dalam program berkenaan membuktikan KMJG berjaya mencapai sasaran antaranya mengutamakan pengisian bertunjangkan pembangunan komuniti.

“Program turun padang tersebut wajar dimanfaatkan sebagai salah satu daya penggerak kepada penggiat industri kraftangan tempatan untuk meningkatkan nilai ekonomi dan meluaskan pasaran.

“Saya nampak program ini pada dasarnya telah mencapai sasaran yang sebenar apabila masyarakat bukan sahaja hadir untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, tetapi turut mendapat peluang mengenali hasil seni dan kraftangan tempatan.

“Pada masa sama, penglibatan pengusaha tempatan seperti Alnissa Collection memberi nilai tambah kepada program kerana masyarakat dapat melihat, mengenali dan menghargai hasil kraftangan yang dihasilkan oleh komuniti setempat,” katanya ketika berucap semasa Program KMJG 2026 dan Hari Sabah Daerah Lahad Datu, pada Selasa.

Sementara itu, Pengusaha Kain Batik Alnissa Collection, Immah Pelmbang berkata, penyertaan dalam program KMJG membuka ruang kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan produk serta identiti perniagaan secara langsung kepada pengguna.

“Penyertaan Alnissa Collection turut membuka ruang untuk mempromosikan produk batik dan kraftangan kepada pengunjung dari pelbagai tempat, selain memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri keindahan seni warisan tempatan serta memahami proses pembuatannya.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Penerangan Lahad Datu atas jemputan dan sokongan diberikan dan saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan sekali gus diperluaskan dengan menyediakan lebih banyak ruang kepada penggiat seni dan kraftangan tempatan pada masa hadapan.” jelasnya.

Beliau menjelaskan penyertaan tersebut turut memberi peluang kepada pengunjung dari pelbagai tempat untuk mengenali produk batik dan kraftangan tempatan serta memahami keunikan seni warisan yang dihasilkan komuniti setempat.