PAPAR : Generasi muda perlu terus dipupuk dengan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara sebagai persediaan menjadi peneraju masa depan Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra berkata, golongan muda khususnya pelajar mempunyai peranan penting dalam memastikan semangat kemerdekaan terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Walaupun generasi hari ini tidak melalui sendiri pengalaman perjuangan mendapatkan kemerdekaan, semangat merdeka tetap perlu kita hidupkan dan hayati.
“Penglibatan pelajar dalam program sempena Bulan Kebangsaan Hari Sabah mampu menyemarakkan semangat patriotisme serta memberi peluang kepada golongan muda memahami makna kemerdekaan.
“Anak-anak sekolah adalah peneraju dan pengisi masa depan negara. Sebab itu semangat patriotisme perlu sentiasa hidup dalam hati mereka,”
katanya ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Daerah Papar, di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Islamiah Papar di sini, pada Sabtu.
Program berkenaan turut dihadiri kira-kira 500 pelajar SMAN, Islamiah Papar.Saifuddin menegaskan kecintaan kepada negara bukan hanya dizahirkan melalui pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya turut diterjemahkan melalui usaha menjaga keamanan, menghormati undang-undang dan memelihara keharmonian.
“Marilah kita menjadikan Jalur Gemilang sebagai tekad bersama untuk terus bersatu, bekerja dan memastikan generasi akan datang mewarisi Malaysia yang aman dan makmur,” ujarnya.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah atas usaha berterusan membawa program patriotisme ke sekolah dan komuniti bagi memastikan semangat cintakan negara terus subur dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penolong Kanan SMAN Islamiah Papar, Sazali Ibrahim serta Ketua Wilayah Co-opbank Pertama Sabah, Eddie Hisham Nordin.