KOTA KINABALU: Seramai 30 murid daripada keluarga golongan B40 di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Anglo Chinese Kota Kinabalu terpilih menerima tajaan akaun pembelajaran digital secara individu melalui platform VSchool.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Chan Foong Hin berkata, tajaan berkenaan bertujuan memberikan peluang pembelajaran yang lebih luas kepada pelajar.
“Latar belakang keluarga dan kekangan kemudahan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mana-mana anak untuk mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti.
“Sumbangan hari ini merupakan usaha berterusan kita bersama SK(C) Anglo Chinese.
“Sebelum ini, kami telah menambah baik kemudahan tandas murid, manakala pada tahun lalu pula, seramai 20 orang murid telah menerima manfaat melalui program yang sama,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Tajaan Program Pendidikan Anak Angkat (PAA), di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, menyedari kekangan kemudahan di rumah, terutamanya ketiadaan komputer atau capaian internet, inisiatif pihak sekolah membenarkan pelajar menggunakan kemudahan bilik komputer sekolah selepas tamat sesi persekolahan untuk mengakses platform VSchool amat dihargai.
Walaupun menggalakkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran, beliau mengingatkan bahawa platform seperti VSchool hanyalah medium tambahan untuk mengulang kaji dan mengukuhkan pemahaman.
“Teknologi boleh membantu dan memperluas peluang pembelajaran, tetapi ia sama sekali tidak akan menggantikan peranan guru yang kekal sebagai insan penting dalam membimbing, memberi inspirasi, dan membentuk masa hadapan murid,” jelasnya.
Beliau turut menitipkan pesanan inspirasi kepada para penerima tajaan agar memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
Beliau menasihati pelajar agar menjadi pengguna teknologi yang bijak dan menggunakannya untuk mencari ilmu berbanding sekadar untuk tujuan hiburan.
“Saya mahu kamu semua ingat satu perkara, tidak kira dari mana kamu bermula, keadaan keluarga kamu bukan penentu sejauh mana kamu boleh pergi. Apabila diberikan peluang, disertai usaha, disiplin dan bimbingan yang betul, setiap anak mempunyai potensi untuk berjaya,” ujar beliau.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Guru Besar SK(C) Anglo Chinese Kota Kinabalu, Mok Sun Fu, serta Naib Presiden Kebangsaan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Kevin Lo Kian Min.