PENAMPANG : Jabatan Penerangan (JAPEN) perlu kembali kepada terasnya sebagai jabatan yang menerajui komunikasi negara.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad berkata, JAPEN berperanan sebagai mata dan lidah kepada kerajaan untuk menyampaikan dasar-dasar yang diumumkan oleh kerajaan.
“Bagi saya, JAPEN perlu kembali kepada terasnya iaitu tugas sebagai Pegawai Penerangan ataupun jabatan yang menerajui komunikasi negara.
“Di JAPEN, kita perlu mendapat ataupun mengumpulkan maklumat daripada masyarakat untuk kita sampaikan kepada kerajaan.
“Selain itu, kita berperanan sebagai mata dan lidah kepada kerajaan untuk menyampaikan dasar-dasar yang diumumkan oleh kerajaan dan juga menjelaskan isu-isu yang terlalu banyak menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat.
“Jadi apabila kita dapat mencapai tujuan dan hasrat ini insya-Allah akan pergi dengan cara yang lebih besar iaitu menguasai komunikasi negara yang mana rakyat tidak lagi terpengaruh dengan berita-berita yang tidak benar ataupun berita-berita palsu.
“Kita ingin menjadikan JAPEN sebagai satu jabatan yang unggul dalam komunikasi kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas Program Kanou Misorita Bersama Pengurusan Tertinggi JAPEN di sini, pada Isnin.
Program berkenaan menghimpunkan warga JAPEN Sabah termasuk Pegawai kader dan Pegawai Perhubungan Awam dari seluruh negeri.
Menurut Erwin, program itu menjadi satu cara untuk mendapatkan maklumat dan pandangan daripada peringkat bawah.
“Dalam program ini kita bincangkan mengenai hasrat mereka terhadap jabatan dan ini merupakan satu cara untuk mendapatkan maklumat dan juga pandangan daripada bawah.
“Bagi saya dalam menjalankan tugas, saya melihat konsep kekeluargaan itu penting dan melalui cara ini, kita dapat maklumat ataupun pandangan mengenai program yang perlu dimantapkan dan dinilai semula keberkesanannya,” ujarnya.
Beliau berharap agar semua warga JAPEN Sabah dapat berjalan seiiring dalam mencapai hasrat agar semua dapat bekerja dengan gembira dan dalam masa sama menjadi saluran yang dipercayai masyarakat.
Erwin dilantik sebagai Ketua Pengarah JAPEN yang baharu berkuatkuasa 22 Jun lalu menggantikan Julina Johan yang bersara pada 21 Jun lepas.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JAPEN Malaysia, Rubaayah Osman; Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JAPEN Malaysia, Wan Saidatul Shafina Mohd Amin, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Labuan, Ruddyansjah Mahtar Hams.