Enam lokasi di Sabah meriahkan final Piala Dunia menerusi tayangan skrin besar

TAWAU: Bahang Piala Dunia FIFA 2026 bakal lebih dirasai di Sabah apabila Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) menganjurkan tayangan skrin besar di enam lokasi terpilih bagi membolehkan orang ramai menyaksikan perlawanan akhir secara beramai-ramai.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Festival Komuniti Havoc 2026 yang bukan sekadar menyediakan ruang menonton bersama, malah bertujuan menyemarakkan semangat kesukanan, mengeratkan perpaduan serta menghimpunkan komuniti dalam suasana yang sihat dan harmoni.

Katanya, tayangan skrin besar bagi aksi final Piala Dunia yang dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Julai itu akan diadakan di Arena Belia Tawau, Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, Beaufort, Kudat, Keningau dan Sandakan.

“Program malam ini sebenarnya menjadi pelancaran Festival Komuniti Havoc 2026 sempena tayangan skrin besar Piala Dunia 2026.

“Bagi perlawanan akhir nanti, kita akan mengadakan tayangan skrin besar di enam lokasi di Sabah supaya lebih ramai rakyat berpeluang merasai kemeriahan Piala Dunia bersama keluarga, rakan-rakan dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Festival Komuniti Havoc 2026 sempena tayangan skrin besar perlawanan pusingan 16 terbaik antara Mesir dan Argentina di Arena Belia Tawau, malam tadi.

Menurutnya, penganjuran program itu adalah hasil kerjasama KBSK Sabah bersama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah bagi menyemarakkan suasana kejohanan bola sepak terbesar dunia yang kini berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Beliau berkata, walaupun program itu berkonsep santai, ia membawa mesej yang besar kepada masyarakat, khususnya golongan belia, mengenai nilai perpaduan, disiplin dan semangat berpasukan.

“Piala Dunia bukan hanya mengenai bola sepak, tetapi medan yang memperlihatkan bagaimana komitmen, disiplin dan kerjasama setiap pemain menjadi kunci kepada kejayaan sesebuah pasukan.

“Nilai-nilai ini wajar diterapkan dalam kehidupan seharian kerana kejayaan dalam apa juga bidang memerlukan kesungguhan, persefahaman dan komitmen daripada semua pihak,” katanya.

Nizam berkata, sukan juga terbukti menjadi medium terbaik dalam menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Menurutnya, apabila masyarakat berkumpul untuk menyokong sukan yang sama, ia secara tidak langsung mengukuhkan semangat kebersamaan serta memupuk keharmonian dalam komuniti.

“Apabila masyarakat bersatu, negeri akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Inilah nilai yang ingin kita bawa menerusi Festival Komuniti Havoc 2026,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai hadir beramai-ramai ke enam lokasi tayangan skrin besar bagi memeriahkan aksi final Piala Dunia, sambil menyifatkan peluang itu cukup istimewa memandangkan kejohanan berprestij berkenaan hanya berlangsung sekali setiap empat tahun.

“Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri suasana dan ‘vibe’ perlawanan akhir Piala Dunia bersama komuniti kerana detik seperti ini hanya hadir sekali dalam tempoh empat tahun,” katanya.