Nizam puji kejayaan pemanah Sabah raih gangsa kejohanan dunia, terima insentif RM5,000

KOTA KINABALU: Atlet memanah tradisional Sabah, Suryanti Umar menerima insentif RM5,000 daripada Kerajaan Sabah selepas meraih tempat ketiga pada Kejohanan Memanah Tradisional Dunia (WTAF) di Ulsan, Korea Selatan, baru-baru ini.

Menteri Belia, Sukan dan Industri Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan Suryanti yang mewakili Malaysia pada kejohanan itu membuktikan atlet Sabah mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, Suryanti berjaya mara ke peringkat separuh akhir sebelum mengakhiri saingan di tempat ketiga selepas menewaskan peserta dari Kazakhstan dalam perebutan pingat gangsa.

“Walaupun tempat ketiga, ia merupakan satu pencapaian terbaik kerana saya difahamkan kejohanan ini disertai lebih daripada 45 negara dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut kepulangan atlet-atlet PERMATA Tawau yang mewakili Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini, pada Jumaat.

Nizam berkata, pemberian insentif tunai RM5,000 itu merupakan penghargaan kerajaan negeri terhadap pencapaian Suryanti selain diharap dapat menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi dalam kejohanan akan datang.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada Persatuan Memanah Tradisional Sabah (PERMATA), yang menjadi persatuan tempat Suryanti bernaung.

Katanya, kejayaan itu juga diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai atlet Sabah untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Tidak ada yang mustahil untuk anak-anak Sabah berjaya. Yang penting mereka mesti fokus, berdisiplin dan sentiasa menjalankan latihan. Insya-Allah, kejayaan itu pasti akan tiba,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong dan memberi galakan kepada atlet Sabah dalam usaha melahirkan lebih ramai wakil negeri yang mampu mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.