KOTA KINABALU: Kira-kira 1,000 pengunjung menghadiri Karnival Hari Terbuka City University Malaysia Pusat Wilayah Sabah 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 14 dan 15 November.
Karnival berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk City U Fun Run sejauh lima kilometer yang disertai 200 peserta, pameran akademik, pameran agensi kerajaan dan swasta, reruai jualan, persembahan pentas serta pertandingan Auto Show dan Hot Wheels.
Sebanyak 23 agensi kerajaan dan swasta turut mengambil bahagian dalam pameran yang menyediakan maklumat berkaitan perkhidmatan, peluang kerjaya, pendidikan dan inisiatif masing-masing.
Turut menarik perhatian pengunjung ialah Jualan Rahmah dan program derma darah yang dilaksanakan dengan kerjasama Hospital Kota Marudu serta Hospital Pitas.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud.
Pada majlis berkenaan, dua Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai melibatkan Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Kumpulan Sri Budaya (KSB) dan Persatuan Orang Sungai Milian Kinabatangan Sabah (POSMIK).
Terdahulu, pada 14 November, karnival dimulakan dengan program Malam Melankolik yang menampilkan persembahan busker dari 8 malam hingga 10 malam.