KOTA KINABALU: Kelab Tinju Profesional Kinabalu (KTPK) dan European Wellness Sports Science Regenerative Centre (EW-SSRC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan tinju profesional di Sabah menerusi penerapan sains sukan, teknologi pemulihan dan perubatan regeneratif.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam meningkatkan pembangunan atlet serta standard penjagaan petinju profesional di negeri ini.
Menurut beliau, pendekatan yang menggabungkan teknologi pemulihan moden dan perubatan regeneratif bukan sahaja membantu atlet pulih daripada kecederaan dengan lebih berkesan, malah membolehkan mereka mengekalkan prestasi terbaik ketika bertanding.
“Kesihatan atlet sama penting dengan kemenangan mereka. Kerjasama ini menetapkan standard baharu dalam aspek penjagaan atlet sukan tempur profesional sekali gus memperkukuh pembangunan tinju profesional di Sabah,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Francis Chung, pada sidang media Kejohanan BAM Championship di European Wellness Premier Centre, di sini, pada Khamis.
Nizam berkata, pemilihan Sabah sebagai lokasi kerjasama itu membuktikan keyakinan terhadap potensi negeri ini untuk berkembang sebagai hab pembangunan sukan berprestasi tinggi, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan serta kerjasama dalam industri sukan.
Sementara itu, Setiausaha KTPK, Zairul berkata, pemeteraian MoU berkenaan membuka peluang kepada atlet Sabah memanfaatkan teknologi pemulihan kecederaan dan kepakaran perubatan sukan bagi meningkatkan prestasi masing-masing.
“Kami berharap atlet tempatan memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan kualiti latihan dan prestasi melalui penggunaan teknologi moden serta pengetahuan yang lebih mendalam dalam pembangunan atlet,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Lembaga Sukan Negeri Sabah, European Wellness serta Persekutuan Tinju Profesional Malaysia (MPBF) atas sokongan menjayakan Kejohanan BAM Championship.
Menurutnya, kejohanan itu menerima komitmen tinggi daripada petinju, jurulatih dan pengurus pasukan yang telah membuat persiapan sejak dua hingga tiga bulan lalu, melibatkan penyertaan atlet dari Sandakan, Tongod, Tambunan, Penampang dan Kota Kinabalu.
Beliau berharap kerjasama antara badan sukan, agensi kerajaan dan sektor swasta akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai petinju profesional Sabah yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Kejohanan BAM Championship dijadual berlangsung pada 17 Julai di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu, dengan perlawanan bermula jam 4 petang, manakala aksi utama akan berlangsung pada jam 7 malam menerusi platform TV Sabah OTT.