Esports pemangkin ekonomi digital, lahir lebih ramai usahawan muda Sabah

RANAU: Industri e-sukan (Esports) bukan lagi sekadar platform hiburan, malah kini muncul sebagai sektor ekonomi digital yang mampu melahirkan lebih ramai usahawan digital muda serta membuka pelbagai peluang kerjaya kepada belia di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, perkembangan pesat industri Esports memberi ruang kepada golongan muda menceburi pelbagai bidang profesional seperti pemain profesional, jurulatih, penganalisis permainan, pencipta kandungan, penstrim, pengulas pertandingan, pengurus pasukan serta pakar pemasaran digital dan teknologi.

Menurutnya, kerajaan negeri mahu melihat lebih ramai anak muda Sabah bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, sebaliknya tampil sebagai pencipta peluang dan peneraju ekonomi digital melalui pembangunan bakat yang berteraskan ilmu, disiplin dan pengalaman.

“Kerjasama erat antara kerajaan, komuniti Esports, sektor swasta dan penganjur kejohanan perlu terus diperkukuhkan bagi memperkasakan pembangunan industri ini, selain menyediakan lebih banyak platform kepada bakat tempatan untuk berkembang,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin ketika merasmikan Borneo Esport Tournament 2026 (BEST26) di Dewan Masyarakat Ranau, pada sabtu.

Masidi berkata, kerajaan negeri akan terus berperanan sebagai pemudah cara dalam menyokong pembangunan bakat serta mewujudkan ekosistem kondusif bagi memastikan industri Esports terus berkembang sebagai antara pemangkin ekonomi digital Sabah.

Beliau berkata, anak muda Sabah khususnya dari Ranau mempunyai potensi besar untuk melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan peluang mengembangkan bakat menerusi penyertaan dalam pertandingan serta akses kepada jaringan industri Esports yang lebih luas.

“Saya berharap penganjuran BEST26 menjadi platform mencungkil bakat baharu, membina pengalaman dan memperkukuhkan komuniti Esports di Ranau serta seluruh Sabah,” katanya.

Kejohanan BEST26 mempertandingkan tiga kategori iaitu Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile dan eFootball dengan penyertaan seramai 381 peserta dari sembilan daerah iaitu Ranau, Kota Kinabalu, Labuan, Keningau, Tambunan, Semporna, Kota Belud, Kota Marudu dan Sandakan.

Hadir sama, Ketua Unit Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau, Sazaki Mohd Zin; Pengarah Program Borneo Esport 2026, Mohd Adib Moin dan Pegawai Kemajuan Masyarakat N.37 Karanaan, Syukri Saridih.