KOTA KINABALU: Ramai menganggap diri mereka sihat kerana tidak mengalami sebarang gejala, namun hakikatnya penyakit hepatitis boleh ‘bersembunyi’ selama bertahun-tahun sebelum menunjukkan tanda-tanda yang jelas.
Apabila simptom mula muncul, keadaan hati selalunya sudah mengalami kerosakan yang serius.
Justeru, orang ramai disaran menjalani saringan awal hepatitis bagi membolehkan penyakit itu dikesan lebih awal sebelum berkembang kepada komplikasi seperti sirosis, kegagalan fungsi hati dan kanser hati.
Pakar Perubatan Keluarga di Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud berkata, hepatitis ialah keradangan hati yang boleh berpunca daripada jangkitan virus selain faktor lain seperti pengambilan alkohol secara berlebihan, penggunaan ubat-ubatan tertentu, sindrom metabolik serta penyakit autoimun.
Menurut beliau, virus hepatitis menyerang sel-sel hati yang sihat dan menyebabkan keradangan berterusan sehingga mengakibatkan pembentukan fibrosis atau parut pada hati sebelum berkembang menjadi sirosis dan akhirnya meningkatkan risiko kanser hati.
“Virus hepatitis akan menyerang dan merosakkan sel-sel hati yang sihat, di mana virus ini akan menggandakan diri mereka dan menyebabkan kerosakan pada hati.
“Keradangan itu boleh berkembang kepada fibrosis, diikuti sirosis sekali gus meningkatkan risiko kanser hati yang boleh membawa kepada kegagalan fungsi hati,” katanya ketika ditemu bual sempena Hari Hepatitis Sedunia yang disambut pada 28 Julai setiap tahun.
Beliau berkata, hepatitis terbahagi kepada beberapa jenis dengan cara jangkitan dan tahap risiko yang berbeza.
Katanya, hepatitis A dan E lazimnya berpunca daripada pengambilan makanan atau minuman yang tercemar dan kebanyakan pesakit mampu pulih sepenuhnya dengan rawatan yang sesuai.
Bagaimanapun, hepatitis B dan C memerlukan perhatian lebih serius kerana boleh menjadi penyakit kronik sekiranya tidak dikesan serta dirawat pada peringkat awal.
“Hepatitis B dan C boleh merebak melalui darah yang tercemar, perkongsian jarum suntikan, perkongsian barangan peribadi seperti berus gigi dan pisau cukur, hubungan seksual tanpa perlindungan serta daripada ibu yang dijangkiti kepada bayi semasa kehamilan,” katanya.
Menurut Nazri, antara cabaran terbesar dalam menangani hepatitis ialah kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.
Beliau berkata, gejala seperti keletihan, hilang selera makan, loya, muntah, air kencing berwarna gelap, najis menjadi pucat serta kekuningan pada mata dan kulit lazimnya hanya muncul apabila penyakit sudah berada pada tahap yang lebih serius.
“Perlu diingatkan tanda-tanda ini tidak muncul pada peringkat awal, tetapi biasanya muncul apabila seseorang itu sudah pun mengalami komplikasi penyakit ini.
“Ini bermakna seseorang itu telah menghidap hepatitis selama bertahun-tahun dan hanya dikesan apabila gejala mula muncul,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terutama mereka yang mempunyai faktor risiko supaya tidak menunggu sehingga mengalami simptom sebelum mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
Dalam perkembangan rawatan semasa, Nazri berkata kemajuan perubatan kini memberi harapan lebih baik kepada pesakit, khususnya bagi hepatitis C yang boleh disembuhkan melalui penggunaan ubat Direct-Acting Antivirals (DAA).
“Lebih 95 peratus pesakit hepatitis C berpotensi sembuh sepenuhnya sekiranya penyakit itu dikesan dan dirawat lebih awal,” tambah beliau.
Selain rawatan, usaha pencegahan juga tidak kurang penting bagi mengurangkan beban penyakit hati dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, vaksin hepatitis B masih merupakan langkah pencegahan paling berkesan dan disarankan kepada golongan berisiko termasuk petugas kesihatan serta ahli keluarga pesakit hepatitis B.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengelakkan pengambilan alkohol, berhenti merokok, menjaga pemakanan serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Kesedaran untuk melakukan saringan awal mampu menyelamatkan nyawa kerana hepatitis boleh dirawat, malah bagi hepatitis C, ia boleh disembuhkan sepenuhnya jika dikesan lebih awal,” katanya.