IPOH: Perjalanan menerokai keindahan Perak bukan sekadar menyaksikan keunikan destinasi pelancongan, malah membuka ruang untuk mengenali sejarah, warisan, budaya dan keistimewaan gastronomi negeri itu yang mempunyai tarikan tersendiri.
Menerusi perjalanan Mansau Ansau Fam Trip yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia Sabah(TMS), penulis bersama beberapa pengamal media dan pempengaruh berpeluang meneroka beberapa lokasi menarik di Perak.
Persinggahan pertama membawa rombongan kami ke Concubine Lane, sebuah lorong yang mempunyai nilai sejarah dan menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung jika ingin berkunjung ke sini.
Suasana lorong yang dihiasi deretan bangunan lama, kedai cenderamata dan pelbagai tarikan unik memberikan pengalaman menarik untuk penulis menghayati suasana warisan bandar indah itu.
Tidak jauh dari situ, rombongan kami turut singgah di Clock Tower sebelum meneruskan perjalanan ke Gochin Tambun Pomelo Agro Farm pada esok hari.
Sepanjang berada di Ipoh, rombongan turut menginap di 1969 D’Kelly Hotel, sebuah penginapan yang menawarkan pengalaman tersendiri menerusi reka bentuk dalaman berkonsepkan hitek yang unik dan estetik.

Keistimewaan hotel itu terserlah menerusi penggunaan kayu berusia ratusan tahun sebagai elemen hiasan dalaman, sekali gus mewujudkan suasana yang mempunyai karakter tersendiri dan memberikan pengalaman penginapan berbeza kepada pengunjung.
Memasuki hari kedua pengembaraan kami, Gochin Tambun Pamelo Agro Farm, sebuah ladang limau bali yang menawarkan pengalaman mengenali lebih dekat proses penanaman buah berkenaan.

Di ladang itu, rombongan kami diberikan penerangan oleh pemiliknya, Tan Yan Kuan, yang merupakan generasi ketiga mengusahakan tanaman berkenaan.
Menariknya, ladang yang mempunyai keluasan lebih dua ekar itu dikelilingi kawasan pergunungan, dengan sejarah penanaman yang dianggarkan mencecah 80 hingga 90 tahun, manakala usia pokok pula sekitar 60 hingga 70 tahun.
Menurut Tan, buah limau bali memerlukan kira-kira enam bulan untuk mencapai tahap kematangan sebelum boleh dipetik. Buah yang dituai terlalu awal pula boleh menghasilkan rasa pahit.
Hasil tanaman daripada pekebun kecil turut dipasarkan untuk dieksport ke Singapura dan Hong Kong, selain mendapat permintaan daripada pemborong buah-buahan, khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan musim perayaan kuih bulan.

Selepas mengenali keistimewaan hasil pertanian tempatan, perjalanan diteruskan dengan menikmati Ipoh White Coffee yang cukup sinonim dengan identiti kulinari bandar Ipoh di Kin Loong.

Kunjungan ke Ipoh pastinya tidak lengkap tanpa merasai kopi putih yang menjadi antara minuman ikonik negeri itu, sekali gus memberikan peluang kepada kami menikmati cita rasa tempatan dalam suasana santai.
Destinasi seterusnya ialah Tasik Cermin, indah dengan pemandangan alam semula jadi yang cukup memukau serta permukaan air tasik yang dikelilingi formasi batu kapur.
Dengan kedalaman tasik sekitar 30 meter, keindahan kawasan itu menjadi antara tarikan yang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung, khususnya pencinta alam dan fotografi.
Perjalanan meneroka Perak turut diserikan dengan pengalaman gastronomi apabila rombongan singgah di Assam House untuk menikmati hidangan yang menggabungkan pelbagai profil rasa.

Restoran itu mengetengahkan gabungan rasa manis (tian), masam (suan), menyelerakan (xiang) dan pedas (la), sekali gus memberikan pengalaman menikmati masakan dengan karakter rasa yang pelbagai.
Antara menu istimewa yang menjadi tarikan termasuk Kari Assam Kepala Ikan, Udang Assam Goreng dan Sambal Petai Sotong.
Sebelum mengenali sejarah istana yang dikatakan misteri, kami sempat meneroka Galeri Rumah Lat.

Seorang anak kampung yang berbakat dalam bidang penulisan, lukisan dan ilustrasi. Itulah Lat, nama yang cukup sinonim dengan karakter kartun terkenal menerusi karya Kampung Boy suatu ketika dahulu.
Menerusi kunjungan ke galeri ini, kami berpeluang menyelami perjalanan hidup dan kerjaya Lat, bermula daripada seorang pemberita sebelum beralih bidang menjadi kartunis dan ilustrator terkenal tanah air.

Jalan cerita Lat ini cukup buat penulis berasa bangga dan bertuah kerana berpeluang mengenali dengan lebih dekat sejarah perjalanan hidup serta kejayaan tokoh seni tanah air ini.
Malah, kunjungan ini turut mengembalikan kenangan zaman kanak-kanak, ketika penulis duduk di hadapan televisyen di ruang tamu sebaik sahaja pulang dari sekolah, semata-mata untuk menonton kartun Kampung Boy.
Rupanya, di sebalik karakter yang pernah menceriakan zaman kecil semua orang, tersimpan sebuah perjalanan hidup yang cukup menarik dan penuh inspirasi.
Rombongan kami kemudian meneruskan perjalanan ke Kellie’s Castle di Batu Gajah, sebuah bangunan bersejarah yang mempunyai kisah tersendiri dan menjadi antara mercu tanda pelancongan terkenal di Perak.

Pembinaan istana bermula sekitar tahun 1900 oleh seorang warga Scotland yang bernama William Kellie Smith, datang ke Batu Gajah untuk membina kehidupan di sini.

Antara perkara menarik perhatian penulis yang dikongsikan oleh pemandu pelancong kami ialah penggunaan bahan seperti telur itik, madu lebah dan kapur bagi proses pembinaan bangunan berkenaan.
Istana itu turut mempunyai 14 bilik tidak termasuk ruang bawah tanah, namun tidak sempat disiapkan kerana Kellie telah meninggal dunia.

Keunikan seni bina serta kisah di sebalik pembinaannya menjadikan Kellie’s Castle antara lokasi yang wajib dikunjungi dan memberikan pengalaman berbeza sepanjang pengembaraan rombongan kami di Perak.
Mengakhiri penerokaan di negeri ini, rombongan kami sempat singgah untuk makan malam di Garden Seafood, Tanjung Malim sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Secara keseluruhan, perjalanan Mansau Ansau di Perak memperlihatkan kepelbagaian tarikan yang ditawarkan negeri itu, daripada lorong warisan dan bangunan bersejarah, keindahan alam semula jadi, hasil pertanian tempatan hinggalah keunikan makanan.
Pengalaman berkenaan turut membuktikan bahawa Perak mempunyai pelbagai pilihan destinasi yang boleh diterokai oleh pelancong, sama ada bagi mereka yang meminati sejarah, alam semula jadi mahupun pengalaman gastronomi.