Dari aroma kopi ke keindahan alam, Tenom destinasi wajib dikunjungi

TENOM: Sabah sememangnya terkenal dengan keindahan pulau, pantai dan kawasan tanah tingginya, namun di sebalik tarikan popular itu, daerah Tenom menawarkan pengalaman pelancongan tersendiri yang wajar dimasukkan dalam senarai destinasi wajib dikunjungi apabila berkunjung ke Negeri di Bawah Bayu.

Tenom bukan sekadar terkenal dengan warisan budaya masyarakat Murut, malah memiliki potensi pelancongan tersendiri sehingga dicadangkan untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan ketiga di Sabah selepas Kundasang dan Semporna sempena kempen Visit Malaysia 2027 (VM2027).

Mercu tanda di pekan Tenom.

Terletak di kawasan pedalaman Sabah, Tenom bukan sekadar dikenali sebagai daerah pengeluar kopi, malah menyimpan pelbagai tarikan yang menggabungkan warisan sejarah, budaya masyarakat tempatan, produk pertanian dan keindahan alam semula jadi.

Perjalanan meneroka Tenom juga menawarkan pengalaman berbeza, khususnya kepada pengunjung yang ingin mengenali sisi lain Sabah selain destinasi pelancongan arus perdana.

Antara pengalaman menarik bagi penulis ialah dengan memulakan perjalanan ke daerah itu dengan menaiki perkhidmatan kereta api dari Beaufort ke Tenom, yang memberikan peluang kepada pengunjung menikmati perjalanan merentasi kawasan pedalaman dan pemandangan hutan hujan tropika serta keindahan Sungai Padas sepanjang laluan.

Penulis berpeluang mengikuti rombongan peserta program Mansau-Ansau VM2026 anjuran Tourism Malaysia Sabah (TMS) yang diketuai Fariza Zakaria, bersama pempengaruh dan pengamal media, bagi menerokai keunikan serta mempromosikan potensi pelancongan Tenom sebagai destinasi pilihan pelancong.

Setibanya di Tenom, pengunjung boleh memulakan penerokaan dengan mengenali sejarah dan warisan tempatan menerusi kunjungan ke Muzium Antanom.

Muzium itu menjadi antara lokasi penting untuk memahami sejarah daerah berkenaan, khususnya perjuangan pahlawan tempatan, Ontoros Antanom, yang dikenali melalui kebangkitan menentang pentadbiran Syarikat Borneo Utara British pada awal abad ke-20.

Muzium Antanom.

Daripada warisan sejarah, perjalanan boleh diteruskan dengan meneroka identiti Tenom yang cukup sinonim dengan industri kopi tempatan.

Yit Foh Coffee Valley menjadi antara lokasi yang tidak harus dilepaskan oleh pencinta kopi apabila berkunjung ke daerah itu.

Di sini, pengunjung berpeluang menikmati hidangan di Robusta Cafe selain mendapatkan pelbagai produk kopi keluaran Yit Foh untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Menariknya, Yit Foh mempunyai sejarah perniagaan keluarga yang diteruskan sehingga generasi ketiga, sekali gus memperlihatkan kesinambungan usaha mempertahankan warisan penghasilan kopi tempatan.

Ladang Kopi Yit Foh.

Nama Yit Foh yang membawa maksud kebersamaan turut mencerminkan nilai yang menjadi sebahagian daripada perjalanan perniagaan keluarga berkenaan.

Selain Yit Foh, pengunjung juga boleh singgah ke Tong Fah Coffee Village untuk meneroka pengalaman berkaitan kopi yang menjadi antara identiti utama Tenom.

Bagi mereka yang ingin menikmati suasana lebih santai, kunjungan ke kawasan sekitar pekan Tenom juga memberikan peluang mengenali kehidupan masyarakat setempat serta suasana sebuah daerah pedalaman yang mempunyai keunikan tersendiri.

Namun, pengalaman meneroka Tenom tidak lengkap tanpa melanjutkan perjalanan ke Rundum Highlands yang menawarkan tarikan alam semula jadi dan suasana perkampungan tanah tinggi.

Perjalanan dari Pekan Kemabong ke Kampung Rundum mengambil masa kira-kira satu jam setengah dengan jarak sekitar 31 kilometer, memberikan pengalaman perjalanan menuju kawasan pedalaman yang masih kaya dengan keindahan alam.

Setibanya di Kampung Rundum, pengunjung turut diserikan dengan sambutan masyarakat setempat menerusi jamuan minum petang, sekali gus memperlihatkan keramahan komuniti kampung dalam menerima kehadiran pengunjung.

Salah satu spesies bunga orkid yang ditemui di kawasan Rundum Highlands, Arundina Graminifolia.

Antara tarikan yang boleh diterokai ialah keindahan flora dan fauna termasuk bunga orkid Arundina graminifolia serta aktiviti pemerhatian burung yang berpotensi menjadi produk pelancongan khusus bagi pencinta alam semula jadi.

Menjelang malam, pengalaman di Tenom diteruskan dengan sambutan mesra penduduk kampung yang mempersembahkan tarian tradisional masyarakat Murut sebagai tanda alu-aluan kepada rombongan.

Rombongan Mansau Ansau VM2026 sempat bergambar kenangan bersama penari-penari kaum Murut pada malam menyambut tetamu di Rundum.

Berlatarbelakangkan suasana unggun api (bonfire), persembahan itu bukan sekadar hiburan, malah menjadi peluang untuk mengenali warisan budaya dan keramahan masyarakat Murut dengan lebih dekat.

Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti luar, kawasan berkenaan turut menawarkan peluang untuk menikmati pemandangan alam, berkhemah dan menghayati suasana persekitaran yang lebih tenang.

Pengalaman meneroka kawasan pedalaman itu boleh diteruskan dengan membuat aktiviti pendakian ke Air Terjun Umit yang terkenal dengan suasana semula jadi sesuai untuk pengunjung menikmati keindahan alam dan merakam kenangan sepanjang perjalanan.

Kami mengambil masa selama dua jam 30 minit untuk menikmati keindahan ke air terjun ini dengan jarak 2.7 kilometer daripada kawasan kampung Rundum.

Air Terjun Umit.

Selain tarikan alam semula jadi, kunjungan ke taman pertanian turut memberikan perspektif berbeza mengenai potensi sektor pertanian yang menjadi antara aktiviti ekonomi penting masyarakat di kawasan pedalaman.

Viana (tiga dari kanan) ketika bergambar kenangan sebelum membawa rombongan menerokai Taman Pertanian Tenom.

Penolong Pegawai Pertanian, Viana Christyvella Jasni, 30, memaklumkan bahawa Taman Pertanian itu mempunyai keluasan kira-kira 200 ekar yang menempatkan pelbagai spesies tumbuhan, termasuk orkid hutan serta landskap taman yang menjadi antara tarikan kepada pengunjung dan pelancong.

Kepelbagaian tarikan ini membuktikan bahawa Tenom mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman lebih menyeluruh, daripada mengenali sejarah dan warisan tempatan sehinggalah menikmati produk kopi serta meneroka keindahan alam semula jadi.

Justeru, bagi pelancong yang merancang percutian ke Sabah, Tenom wajar diberikan ruang dalam itinerari perjalanan, khususnya kepada mereka yang ingin keluar daripada laluan pelancongan biasa dan mengenali keunikan kehidupan masyarakat di pedalaman.

Daerah Tenom bukan sekadar destinasi persinggahan, sebaliknya sebuah daerah yang menyimpan pelbagai cerita, pengalaman dan keindahan yang menanti untuk diterokai.