KOTA KINABALU: Pelumba muda Sabah, Brenjen Bon Jacob menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen negeri pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026 selepas meraih gangsa dalam acara Downhill Individu Lelaki, hari ini.
Pelumba berusia 20 tahun dari Ranau itu mencatat masa 2 minit 04.519 saat untuk menamatkan laluan sejauh 900 meter di Denai Peladang Agro, MTB Trail, Saujana Utama.
Catatan itu membolehkan Brenjen menamatkan saingan di tempat ketiga daripada 19 pelumba yang mengambil bahagian.
Brenjen yang turun bersama seorang lagi wakil Sabah, Ryan Zeck Badimin, mempamerkan kayuhan bertenaga dalam laluan yang menuntut kepantasan, ketepatan dan keberanian tinggi.
Setiap saat menjadi penentu apabila Brenjen hanya ketinggalan 6.373 saat daripada catatan emas untuk memastikan tempat di podium menjadi milik Sabah.
Pingat emas menjadi milik pelumba Negeri Sembilan, Zane Aydeen Mohd Faisal yang mencatat masa terpantas 1:58.146 saat, manakala wakil Pahang, Tengku Mukhriz Tengku Mansor meraih perak dengan catatan 1:59.653 saat.
Sementara itu, Ryan Zeck Badimin menamatkan saingan di kedudukan ke-15 dengan catatan 2:16.523 saat.
Kejayaan Brenjen itu sekali gus membuka akaun pingat Kontinjen Sabah pada 14 Ogos dan menjadi suntikan semangat kepada atlet negeri yang masih meneruskan cabaran dalam pelbagai acara.
Pencapaian ini bukan sekadar menghadiahkan sekeping pingat kepada Sabah, malah menjadi pencetus semangat buat kontinjen negeri untuk terus memburu lebih banyak kejayaan dalam saingan SUKMA XXII Selangor 2026.