Nadher Chan sumbang pingat kedua Sabah di SUKMA XXII

SELANGOR : Kontinjen Sabah terus mencatatkan perkembangan positif pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026 apabila atlet judo, Nadher Chan Yie Pah, menghadiahkan pingat gangsa kedua buat negeri hari ini.

Atlet berusia 18 tahun kelahiran Putatan itu meraih gangsa dalam kategori lelaki bawah 66 kilogram (−66kg) selepas menewaskan wakil Pulau Pinang dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Nadher membuka saingan dengan cemerlang apabila menewaskan wakil Johor pada pusingan awal sebelum meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, impiannya untuk melangkah ke final tidak kesampaian selepas tewas kepada wakil Sarawak dalam aksi separuh akhir.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat beliau untuk bangkit dalam perebutan pingat gangsa.

Dalam aksi penentuan tersebut, Nadher tampil lebih bersemangat dan tenang sebelum berjaya menewaskan wakil Pulau Pinang, sekali gus mengesahkan pingat gangsa menjadi milik Sabah.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Nadher dan kontinjen Sabah, khususnya selepas beliau berjaya bangkit daripada kekalahan di separuh akhir untuk memastikan podium.

Pingat berkenaan turut menjadi pingat kedua yang diraih Kontinjen Sabah setakat ini pada SUKMA XXII Selangor 2026.

Nadher turut berkongsi kejayaan itu bersama jurulatihnya, Coach Chok, serta seluruh pasukan judo Sabah yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan sepanjang saingan.

Kejayaan Nadher diharapkan menjadi pembakar semangat kepada atlet-atlet Sabah lain yang masih berjuang dalam acara masing-masing bagi menambah koleksi pingat negeri pada temasya kali ini.