Kem menembak Sabah genggam dua emas di SUKMA Selangor

SUBANG : Kem menembak Sabah mencatat permulaan cemerlang di SUKMA XXII Selangor 2026 apabila berjaya menyumbangkan dua pingat emas menerusi acara 10m Air Rifle di Lapang Sasar Negara Subang, hari ini.

Emas pertama menjadi milik Sabah menerusi gandingan Yusezzany bin Jaidi, Dexter Dean Jonius dan Hanson Francis Chong yang muncul juara dalam acara 10m Air Rifle Lelaki Berpasukan.

Kejayaan itu kemudian dilengkapkan Nur Aina Natasya binti Anderson yang tampil tenang dan konsisten untuk meraih pingat emas dalam acara 10m Air Rifle Wanita Individu.

Kejayaan berganda berkenaan menyaksikan kem menembak Sabah memberikan sumbangan penting kepada kutipan pingat Kontinjen Negeri Sabah, selain membuktikan keupayaan atlet negeri bersaing pada temasya sukan berprestij itu.

Sepanjang saingan, atlet Sabah mempamerkan tahap fokus dan ketenangan yang tinggi, terutama dalam acara yang menuntut ketepatan, kawalan emosi serta konsentrasi bagi menghasilkan prestasi terbaik.

Lebih membanggakan , kedua-dua pingat emas berkenaan hadir pada hari pertama saingan acara menembak, sekali gus menjadi suntikan semangat kepada pasukan untuk meneruskan cabaran dalam acara-acara yang masih berbaki.

Pasukan menembak Sabah dibimbing barisan jurulatih Denis Ejoh, NurHafizah dan Dg Siti Nasirah.

Dengan dua emas sudah berada dalam genggaman, kem menembak Sabah kini menyasarkan untuk meneruskan momentum positif bagi menambah koleksi pingat negeri dalam baki saingan SUKMA XXII Selangor 2026.

Turut hadir memberikan sokongan kepada atlet Sabah ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asineh @ Mohd Asneh bin Mohd Noor.