SHAH ALAM: Ketenangan dan keupayaan memanfaatkan kesilapan lawan menjadi kunci kejayaan gandingan petanque Sabah, Aina dan Leeyana, meraih pingat emas acara Double Wanita pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026, hari ini.
Gandingan itu menampilkan aksi kemas dan penuh fokus sebelum menewaskan pasangan lawan 13-6 dalam aksi final, sekali gus menyumbang emas buat kontinjen Sabah.
Pengurus Pasukan Petanque Sabah, Azami Laman berkata, keputusan 13-6 itu tidak menggambarkan perlawanan mudah kerana kedua-dua pasangan memberikan saingan sengit sepanjang aksi berlangsung.
Menurutnya, Aina dan Leeyana berjaya mengekalkan ketenangan selain bijak mengambil peluang daripada setiap kesilapan yang dilakukan lawan untuk mengumpul mata.
“Keputusan 13-6 mungkin nampak seperti kemenangan selesa, tetapi perlawanan sebenarnya tidak mudah. Atlet kita cuma bijak mengambil kesempatan apabila lawan melakukan kesilapan.
“Paling penting, mereka kekal tenang dan mempunyai semangat yang tinggi untuk memburu emas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas aksi final Double Wanita, hari ini.
Azami berkata, sokongan barisan kepimpinan Sabah yang hadir menyaksikan aksi final sehingga tamat turut menjadi suntikan moral kepada pemain.
Katanya, pertemuan bersama Menteri sebelum perlawanan bermula selain pesanan dan kata-kata semangat yang diberikan turut membantu meningkatkan motivasi pemain.
“Bila pemimpin negeri hadir menyaksikan sendiri perlawanan akhir sehingga tamat, ia memang memberikan semangat kepada atlet.
“Sebelum perlawanan juga, Datuk Menteri sempat bertemu pemain dan memberikan kata-kata semangat. Sokongan seperti ini sangat bermakna kepada atlet,” katanya.
Mengulas baki saingan, beliau berkata, skuad petanque Sabah masih mempunyai tiga peluang untuk menambah koleksi pingat menerusi acara Triple Lelaki, Triple Wanita dan Mixed Doubles.
Azami berharap kejayaan Aina dan Leeyana menjadi pencetus momentum positif kepada rakan sepasukan, terutama dalam acara Triple Wanita yang dilihat mempunyai peluang cerah untuk menyumbang emas.
“Kita masih mempunyai tiga kategori lagi. Harap momentum kemenangan ini dapat diteruskan dan kita mampu menambah lagi koleksi emas untuk Sabah.
“Antara yang kita lihat mempunyai prospek ialah acara Triple Wanita,” katanya.