369 peserta sertai Kejohanan Terbuka Taekwondo, tingkatkan kemahiran atlet muda Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 369 peserta dari Sabah, Perak, Selangor dan Sarawak menyertai Kejohanan Jemputan Terbuka Kebangsaan Persatuan Taekwondo Negeri Sabah (SSTA) 2026, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 30 Ogos.

Setiausaha Persatuan Taekwondo Negeri Sabah (SSTA) merangkap wakil penganjur, Mohd Hanif Zakhilan berkata, kejohanan berprestij itu bukan sekadar menjadi medan pertandingan, malah menyediakan platform kepada atlet muda dan berpengalaman untuk menguji keupayaan, meningkatkan kemahiran serta membina disiplin diri.

“Penganjuran kejohanan itu turut menekankan nilai murni dalam sukan taekwondo termasuk pembentukan karakter, sikap hormat-menghormati, kesabaran serta semangat tidak mudah berputus asa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pertandingan itu, di sini, pada Sabtu.

Majlis perasmian kejohanan disempurnakan Pengarah LHDN Cawangan Sabah, Datin Dayang Halimah Awang Ahmad.

Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah tetamu khas kejohanan, Master Noel Keating, seorang pengajar dan pengadil taekwondo antarabangsa serta Presiden SSTA, Senior Master Cristopher Wee.

Dayang (kanan) ketika menerima penghargaan daripada Presiden SSTA, Cristopher Wee (kiri).

Katanya, pihak penganjur berharap kejohanan berkenaan dapat menjadi landasan melahirkan lebih ramai bakat taekwondo dari Sabah yang berpotensi mewakili negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

Selain aspek persaingan, penyertaan atlet dari beberapa negeri turut dilihat mampu memperkukuh hubungan serta semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti taekwondo di Malaysia.

Kejohanan yang berlangsung sehingga esok itu sekali gus memberi peluang kepada atlet untuk menimba pengalaman pertandingan sukan taekwondo di Sabah.

Peserta-peserta SSTA yang berusia bermula seawal lapan tahun.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Pola Berpasukan Campuran Tali Pinggang Hitam Remaja, Pola Berpasukan Campuran Tali Pinggang Hitam Terbuka Senior, Pola Individu Tali Pinggang Hitam, Pola Berpasukan Campuran Tali Pinggang Berwarna Remaja dan Pola Individu Tali Pinggang Berwarna bagi lelaki dan wanita.

Turut dipertandingkan ialah kategori Lawan Bebas Individu Tali Pinggang Berwarna serta Lawan Bebas Individu Tali Pinggang Hitam mengikut kategori berat badan bagi lelaki dan wanita.

Pemenang akan menerima sebuah pingat emas, perak atau gangsa bagi setiap kategori yang dipertandingkan dan kesemua peserta akan menerima sijil penyertaan dan pencapaian dalam bentuk digital.

Kejohanan yang diadakan di Wisma Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah itu dijangka menarik kira-kira 1,000 pengunjung, sekali gus menjadi antara platform penting bagi mencungkil dan mengembangkan bakat baharu dalam sukan taekwondo.