Dabra ungguli minggu pertama Borneo Rising, Rizzani-Aadel bakal berentap

PENAMPANG: Peserta Dabra mengungguli minggu pembukaan program realiti Borneo Rising selepas mencatat markah keseluruhan tertinggi menerusi persembahan lagu Wicked Game.

Dabra mengumpul 78.95 peratus untuk menduduki tangga teratas, diikuti Petrova dengan 76.92 peratus di tempat kedua.

Turut berada dalam kelompok enam peserta terbaik ialah Syukri dengan 72.28 peratus, Havard (71.36 peratus), Harris (67.66 peratus) dan Joy (66.91 peratus).

Persembahan Dabra di ITCC, Penampang, semalam, turut mendapat sorakan penonton selain menerima maklum balas positif daripada barisan juri, terutama dari aspek penghayatan dan kekuatan vokalnya.

Lebih membanggakan, persembahan itu membolehkan Dabra menerima anugerah Persembahan Paling Power tajaan CelcomDigi pada segmen terakhir, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.

Sementara itu, persaingan di kelompok bawahan turut mencuri perhatian apabila Faris, Rizzani dan Aadel mencatat markah keseluruhan terendah pada minggu pertama.

Bagaimanapun, Faris masih diberi peluang meneruskan saingan selepas diselamatkan barisan juri pada penghujung episod pertama.

Keputusan berkenaan menyaksikan Rizzani dan Aadel perlu berentap pada segmen pertama minggu kedua bagi menentukan peserta yang akan meneruskan perjalanan dalam program berkenaan.

Pertembungan kedua-dua peserta itu dijangka menjadi antara tumpuan minggu depan apabila masing-masing perlu memberikan persembahan terbaik bagi membuktikan kemampuan mereka di pentas Borneo Rising.

Minggu pertama yang membawa tema ‘This Is Me’ berakhir tanpa penyingkiran sepenuhnya, namun nasib Rizzani dan Aadel bakal ditentukan menerusi persembahan mereka pada minggu kedua.

Dalam pada itu, kejayaan Dabra menduduki tangga teratas carta awal memberi gambaran persaingan sengit musim ini, dengan peserta lain pastinya perlu meningkatkan prestasi untuk memperbaiki kedudukan masing-masing.

Borneo Rising boleh disaksikan setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (Saluran 104), TV Okey (Saluran 146), On Demand, Astro GO, Sooka dan RTMKlik.