KOTA KINABALU: Dua penyanyi popular Indonesia, Sal Priadi dan Raim Laode bakal berkongsi pentas buat kali pertama di Sabah menerusi Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat pada 2 Oktober ini.
Konsert berkenaan dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Pertemuan kedua-dua penyanyi itu turut menjadi tarikan utama apabila mereka tampil dengan karakter dan gaya muzik tersendiri dalam satu persembahan.
Sal Priadi berkata, persembahan di Kota Kinabalu merupakan peluang yang dinantikan, khususnya selepas mendengar sambutan peminat muzik di Sabah.
“Saya sentiasa mendengar betapa hangatnya sambutan peminat muzik di Sabah. Akhirnya peluang itu tiba dan saya sangat teruja untuk bertemu mereka.
“Saya berharap kita dapat menyanyi bersama dan berkongsi malam yang penuh emosi serta kenangan indah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Raim Laode menyifatkan persembahan berkenaan sebagai peluang untuk mendekati peminat di Malaysia, selain memperkenalkan karya muziknya kepada penonton di Kota Kinabalu.
“Muzik sentiasa menjadi medium yang menyatukan hati dan perasaan.
“Saya berharap setiap lagu yang dipersembahkan nanti dapat mencipta memori indah bersama peminat di Kota Kinabalu. Terima kasih kerana sentiasa memberikan sokongan kepada karya-karya saya,” katanya.
Menurut Pengarah Teknikal Sembang Kari Entertainment, Alif Rafiq, penganjuran Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat meneruskan usaha pihaknya membawa artis dari Nusantara untuk mengadakan persembahan di Sabah.
Katanya, gabungan Sal Priadi dan Raim Laode dalam satu pentas dijangka memberikan kelainan kepada peminat muzik tempatan.
“Melodi Malam 3.0 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman muzik yang menghubungkan artis dan peminat dalam suasana yang lebih dekat dan bermakna.
“Kami yakin gabungan Sal Priadi dan Raim Laode mampu memberikan persembahan yang akan dikenang oleh semua yang hadir,” katanya.
Beliau berkata, sambutan komuniti pencinta muzik di Sabah turut menjadi antara faktor pihaknya meneruskan penganjuran acara berkenaan.
Tiket kategori Pria Terhebat ditawarkan pada harga RM229 dan boleh didapati menerusi Ticket Empire.