3,000 peminat meriahkan konsert D’MASIV di Kota Kinabalu, Sandakan

KOTA KINABALU: Kumpulan muzik popular Indonesia, D’MASIV, berjaya menghimpunkan kira-kira 3,000 peminat menerusi dua persembahan konsert di Kota Kinabalu dan Sandakan pada 16 dan 18 Oktober lalu.

Siri konsert anjuran The Elopura Hotel itu menyaksikan kehadiran kira-kira 1,300 peminat menerusi Malam Galau Bersama D’MASIV di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, pada 16 Oktober.

Sambutan kemudian diteruskan di Sandakan menerusi konsert D’MASIV Mendarat di Sandakan di Kompleks Sukan Sandakan, yang menarik kira-kira 1,700 peminat pada 18 Oktober.

Salah seorang peminat mengambil peluang bergambar kenangan bersama vokalis kumpulan D’Masiv, Rian Ekky Pradipta di Konsert D’Masiv yang diadakan di Magellan Resort, di sini.

Persembahan itu memberi peluang kepada peminat menikmati secara langsung 13 lagu yang dinyanyikan dan antara lagu popular kumpulan seperti Cinta Ini Membunuhku, Merindukanmu serta Jangan Menyerah.

Kedua-dua konsert berkenaan bukan sekadar menampilkan persembahan muzik, malah menjadi ruang untuk peminat mengimbau kenangan, menghayati kisah percintaan dan menyanyi bersama menerusi lagu-lagu yang mempunyai makna tersendiri dalam kehidupan mereka.

Sambutan yang diterima di kedua-dua bandar itu turut memperlihatkan potensi Sabah sebagai destinasi penganjuran acara hiburan dan persembahan muzik serantau, selain mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia menerusi muzik.

The Elopura Hotel dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada D’MASIV, rakan kerjasama, pasukan produksi, kru, pihak lokasi acara serta semua peminat yang menjayakan kedua-dua persembahan berkenaan.

Dengan berakhirnya siri konsert itu, ribuan peminat membawa pulang kenangan tersendiri daripada persembahan yang meraikan muzik, nostalgia dan hubungan erat antara peminat Malaysia dan Indonesia.

13 senarai lagu yang dibawakan ialah;

1. Rindu Setengah Mati
2. Di Bawah Langit Yang Sama
3. Semakin
4. On Our Own
5. Pergilah Kasih
6. Sudahi Perih Ini
7. Cinta Sampai Di Sini
8. Di Antara Kalian
9. Merindukanmu
10. Jangan Menyerah
11. Cinta Ini Membunuhku
12. Till We’re Old
13. Diam Tanpa Kata