Gagal bayar fi pelesenan muzik, pengendali KTV diperintah bayar MACP

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu memerintahkan pengendali pusat karaoke tempatan, Crazy Mic Classic KTV di Imago Shopping Mall, membayar fi pelesenan muzik tertunggak kepada Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad.

MACP dalam satu kenyataan memaklumkan, perintah itu diputuskan melalui penghakiman bertarikh 3 Julai 2026 terhadap CZM (KK) Sdn. Bhd. yang dahulunya dikenali sebagai YHY Jaya Sdn. Bhd., susulan kegagalan berpanjangan syarikat berkenaan menjelaskan fi pelesenan muzik serta mematuhi notis yang disampaikan MACP.

Menurutnya, pihak pengendali sebelum ini telah menerima beberapa peringatan, surat amaran dan notis tuntutan, namun masih gagal menjelaskan bayaran tertunggak.

“Pemeriksaan oleh ejen penguat kuasa MACP turut mendapati premis berkenaan masih memainkan serta memperoleh manfaat komersial daripada muzik yang dilindungi hak cipta tanpa memiliki lesen muzik yang sah,” katanya.

MACP berkata, perintah mahkamah itu menjadi peringatan kepada semua pengendali premis awam, termasuk pusat KTV, bar, restoran dan kedai runcit, supaya memiliki lesen muzik yang sah serta memastikan semua fi pelesenan dijelaskan sepenuhnya.

Tambahnya, penggunaan muzik yang dilindungi hak cipta tanpa lesen sah boleh membawa kepada tindakan undang-undang termasuk implikasi sivil dan jenayah di bawah undang-undang hak cipta Malaysia.

MACP turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang hak cipta serta meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pencipta muzik menerima pampasan yang adil atas penggunaan karya mereka.