KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Sabah, Marsha Milan, mengakui sedang berdepan masalah kesihatan ketika giat membuat persiapan menjelang pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang dijadual berlangsung pada 15 Ogos ini.
Marsha berkata, keadaan itu mula dialaminya kira-kira dua minggu lalu dan turut menjejaskan beberapa anggota pasukan yang terlibat dalam persiapan persembahannya.
Menurutnya, simptom berkenaan dipercayai bermula selepas selesai menjalani proses rakaman di Jakarta, namun punca sebenar masih belum dikenal pasti.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana perkara ini berlaku lebih awal dan bukannya ketika hampir atau pada hari pertandingan. Sekurang-kurangnya saya masih mempunyai masa untuk menjalani rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Meet & Greet Finalis AJL40 di Pasar Seni, di sini, pada Sabtu.
Katanya, beliau telah mendapatkan rawatan daripada tiga pakar bagi mengenal pasti punca masalah kesihatan yang dialaminya.
“Pengalaman itu mengajarnya untuk terus bertawakal dan reda dalam menghadapi setiap ujian sepanjang persiapan menuju pentas AJL40,” tambahnya.
Mengulas dakwaan yang mengaitkan penyakitnya dengan unsur mistik, Marsha menegaskan beliau tidak mempercayai perkara sedemikian dan beranggapan keadaan itu lebih berkemungkinan berpunca daripada jangkitan virus yang sedang menular.
Beliau berkata, antara simptom yang dialaminya ialah demam, batuk, selsema, migrain, muntah dan cirit-birit.
“Doktor masih menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar,” jelasnya.
Marsha bakal mempertaruhkan lagu Tangisan Pendosa, ciptaannya bersama Hazama, pada pentas akhir AJL40 yang akan berlangsung di Unifi Arena.