KUDAT: Seramai 16 individu menyahut cabaran meneroka Gua Monsud, Pulau Banggi yang masih tersembunyi dan berpotensi menjadi tarikan eko-pelancongan baharu di kawasan berkenaan.
Program Jelajah Merdeka ke Gua Monsud yang berlangsung selama dua hari satu malam, bermula 8 hingga 9 Ogos lalu, disertai golongan belia, komuniti setempat dan penjawat awam.
Wakil penganjur, Azry Hussin, berkata Gua Monsud dipilih sebagai lokasi jelajah kerana perjalanan ke destinasi berkenaan mengambil masa antara enam hingga lapan jam dengan berjalan kaki, selain laluan yang mencabar merentasi kawasan berbukit, hutan belantara dan sungai.
“Program ini diadakan sempena Bulan Kemerdekaan bagi menyahut cabaran dan rintangan, selain menggalakkan masyarakat meneroka khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara.
“Perjalanan ke Gua Monsud bukan mudah, namun cabaran itu memberikan pengalaman berharga kepada peserta, khususnya anak muda untuk mengenali keunikan alam sekitar di Pulau Banggi,” katanya.
Menurutnya, Gua Monsud mempunyai keunikan tersendiri termasuk formasi batuan gua, flora dan fauna serta dihuni ribuan kelawar, selain mempunyai potensi besar untuk aktiviti eko-pelancongan, perkhemahan dan jelajah lasak.
Azry berkata, keselamatan dan adat setempat turut diberi perhatian sepanjang penerokaan gua berkenaan, dengan peserta diberikan taklimat oleh pemandu sebelum memasuki kawasan gua.
“Antara perkara yang ditekankan termasuk tidak meludah, menjaga percakapan dan mendapatkan izin daripada pemandu sebelum memasuki gua.
“Komuniti setempat juga mempunyai kepercayaan bahawa Gua Monsud mempunyai penjaga dan terdapat pantang larang tertentu yang perlu dihormati,” katanya.
Beliau berkata, program itu bukan semata-mata untuk mencapai destinasi, sebaliknya menjadi medium mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kerjasama dan membina persahabatan dalam kalangan peserta.
Katanya, sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohammarin, turut membantu menjayakan program berkenaan.
“Harapan kami supaya aktiviti seperti ini dapat diperluaskan pada masa akan datang dan secara tidak langsung memperkenalkan Pulau Banggi serta khazanah alamnya kepada masyarakat luar dan dunia,” katanya.