SHAH ALAM: Skuad renang Sabah memulakan misi di SUKMA XXII Selangor 2026 dengan langkah bergaya apabila mengutip dua pingat gangsa dalam tempoh dua hari pertama saingan di Pusat Akuatik Darul Ehsan.
Gangsa pertama disumbangkan perenang muda, Emmanuel Loh Yung Ming selepas menamatkan saingan 100 meter (m) kuak dada lelaki di tempat ketiga, semalam.
Perenang berusia 17 tahun dari Kota Kinabalu itu mencatat masa 1:05.68 saat dalam saringan sebelum memperkemaskan catatan kepada 1:04.45 saat pada final.
Aksi itu membolehkan Emmanuel menaiki podium sekali gus menghadiahkan pingat pertama buat kontinjen renang Sabah di temasya kali ini.
Tidak sampai 24 jam kemudian, Emmanuel sekali lagi menjadi antara watak penting apabila membantu kuartet Sabah meraih gangsa dalam acara 4x100m rampaian campuran.
Kuartet Sabah yang turut dibarisi Chu Xin Ying, Laura Lee Yen Nie dan Muhammad Ikwan Haziq Abdullah mencatat 4:14.51 saat untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dalam final yang disertai lapan pasukan.
Dua gangsa berkenaan bukan sahaja menyuntik semangat kepada skuad renang Sabah, malah membuktikan kekuatan mereka mampu diterjemahkan dalam acara individu dan berpasukan.
Bagi Emmanuel, pencapaian berganda itu tentunya cukup bermakna apabila dia berjaya menyumbang dalam kedua-dua acara pada usia muda, sekali gus memberi gambaran bahawa Sabah mempunyai pelapis yang mampu mencuri tumpuan di pentas SUKMA.
Saingan bagaimanapun masih panjang dan skuad renang Sabah mempunyai beberapa acara lagi untuk dipertandingkan.
Walaupun emas masih belum menjadi milik Sabah di kolam renang, dua gangsa itu sudah cukup untuk menjadi pembakar semangat kepada barisan perenang meneruskan cabaran.