MedCommKK ungguli aksi persahabatan pickleball

KOTA KINABALU: Pasukan Kelab Rekreasi Media dan Komunikasi Kota Kinabalu (MedCommKK) muncul pemenang keseluruhan selepas menewaskan pasukan Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam Perlawanan Persahabatan Pickleball ECoS – Media di Borneo Pickleball, di sini, malam tadi.

Pertemuan berlangsung meriah dan penuh semangat kesukanan menerusi tujuh perlawanan membabitkan tiga acara beregu lelaki, dua beregu wanita dan dua beregu campuran.

MedCommKK mempamerkan aksi konsisten sepanjang perlawanan untuk menguasai keputusan keseluruhan, meskipun menerima tentangan sengit daripada barisan pemain ECoS.

Pengerusi MedCommKK, Christopher Bernard Maskilone berkata, kemenangan itu hasil semangat berpasukan dan komitmen semua pemain yang memberikan persembahan terbaik sepanjang perlawanan.

“Bagaimanapun, kemenangan bukan matlamat utama kerana perlawanan ini lebih kepada mengeratkan hubungan antara pengamal media dan warga ECoS menerusi aktiviti sukan.

“Kami berterima kasih kepada ECoS atas inisiatif menganjurkan perlawanan persahabatan ini yang berlangsung meriah serta penuh semangat kesukanan,” katanya.

“MedCommKK berharap program seumpama ini dapat diteruskan dengan penyertaan lebih banyak agensi pada masa akan datang, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media,” katanya.

Perlawanan itu turut menjadi medan memperluas perkembangan pickleball yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di Sabah. – Info X