KOTA KINABALU: Kontinjen olahraga Sabah terus mencipta kejayaan di pentas kebangsaan apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026, sekali gus mempertahankan kejuaraan untuk tiga tahun berturut-turut.
Kejayaan itu meneruskan dominasi Sabah selepas muncul juara keseluruhan pada edisi 2024 dan 2025.
Setakat pagi hari terakhir kejohanan, kontinjen Sabah mengumpul 23 pingat emas, 11 perak dan 11 gangsa, menjadikan keseluruhan 45 pingat.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil usaha dan komitmen semua pihak, khususnya atlet, jurulatih, guru serta ibu bapa.
Menurutnya, setiap pingat yang diraih mencerminkan kerja keras atlet yang menjalani latihan secara konsisten selain bimbingan jurulatih serta sokongan berterusan daripada guru dan keluarga.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), urus setia Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Sabah, jurulatih, guru serta semua pihak yang terlibat dalam persiapan kontinjen olahraga negeri.
“Paling utama, syabas dan tahniah kepada anak-anak atlet Sabah. Kalian telah membuktikan bahawa bakat muda Sabah mampu bersaing dan menjadi yang terbaik di pentas kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nizam berkata, kejayaan pada Olahraga MSSM 2026 turut membuktikan usaha pembangunan sukan di peringkat sekolah berada pada landasan yang baik.
Katanya, usaha berkenaan perlu terus diperkukuh menerusi pencarian bakat baharu, peningkatan kualiti kejurulatihan, penyediaan kemudahan sukan yang sesuai serta laluan pembangunan atlet yang lebih tersusun.
“Langkah ini penting bagi memastikan lebih ramai anak Sabah berpeluang mengembangkan potensi mereka daripada pentas sekolah ke peringkat kebangsaan dan seterusnya antarabangsa,” katanya.
Kejayaan mempertahankan gelaran juara keseluruhan selama tiga tahun berturut-turut itu sekali lagi menyerlahkan prestasi atlet muda Sabah dalam saingan olahraga peringkat kebangsaan.