Gempa bumi lemah 3.5 magnitud gegar Panginatan, Ranau

RANAU: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 berlaku di Paginatan, Ranau, Sabah, pada jam 10.57 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan gempa itu berpusat pada koordinat 5.9 darjah Utara dan 116.7 darjah Timur, kira-kira 14 kilometer (km) selatan Ranau, dengan kedalaman 13km.

Menurut METMalaysia, gegaran berkemungkinan dirasai di Ranau dan kawasan sekitarnya.

“METMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi saluran rasmi jabatan berkenaan.

Gempa berkenaan turut direkodkan dalam sistem myGempa METMalaysia pada jam 10.57:58 pagi, dengan sumber seismik Seiscomp3.

Ranau sememangnya antara kawasan di Sabah yang pernah mengalami gempa bumi tempatan.

METMalaysia menjelaskan bahawa Malaysia Timur terdedah kepada gempa bumi tempatan susulan kewujudan gelinciran atau garis sesar aktif di Sabah dan Sarawak.