Struktur utama menara ERS berjaya didirikan, bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah dijangka pulih lebih awal

KOTA KINABALU: Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah dijangka dapat dipulihkan lebih awal daripada sasaran susulan kejayaan pasukan teknikal Sabah Electricity (SE) mendirikan struktur utama menara sementara Emergency Restoration System (ERS) hari ini.

SE menerusi kenyataan di Facebook rasmi Sabah Electricity Careline memaklumkan, pasukan teknikalnya berjaya menyelesaikan kerja mendirikan struktur utama menara sementara itu di lokasi menara T313, setakat jam 1.45 petang.

Menurut kenyataan itu, kerja seterusnya membabitkan pemasangan lengan silang menara atau crossarm serta komponen sokongan sebelum kerja pemasangan kabel penghantaran dapat dilaksanakan.

Perkembangan berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha mempercepatkan pemulihan laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan kedua-dua kawasan berkenaan.

Sabah Electricity turut menegaskan aspek keselamatan anggota kerja kekal menjadi keutamaan pada setiap peringkat pelaksanaan bagi memastikan semua kerja pemulihan dapat dilakukan dengan selamat.

Dalam pada itu, pihaknya merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas kesabaran, sokongan dan doa sepanjang usaha pemulihan berkenaan dilaksanakan.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini kerja pemulihan itu menerusi halaman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline.