Catuan bekalan elektrik dilaksanakan secara bergilir di Pantai Timur Sabah – SE

KOTA KINABALU: Catuan bekalan elektrik secara bergilir dilaksanakan di Pantai Timur Sabah susulan insiden membabitkan menara penghantaran T313 yang menyebabkan bekalan elektrik di kawasan itu bergantung kepada kapasiti penjanaan setempat yang terhad.

Sabah Electricity dalam satu kenyataan memaklumkan berkata, pelaksanaan catuan itu perlu bagi membolehkan lebih ramai pengguna menerima bekalan elektrik, selain memastikan kestabilan sistem dan mengelakkan gangguan lebih meluas.

Dalam masa sama, set janakuasa bergerak (genset) digerakkan ke lokasi penting termasuk hospital, sekolah dan balai polis bagi memastikan perkhidmatan penting kepada masyarakat dapat diteruskan.

Sabah Electricity turut memaklumkan pihaknya sedang memanfaatkan segala sumber penjanaan yang tersedia bagi meningkatkan jumlah bekalan elektrik yang dapat disalurkan kepada pengguna.

“Kami amat memahami kesukaran yang dihadapi pengguna susulan situasi berkenaan dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami,” katanya.

Maklumat terkini mengenai pelaksanaan catuan serta kawasan yang terlibat akan dimaklumkan menerusi halaman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline, manakala usaha pemulihan bekalan terus dipergiatkan.