RANAU: Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah dijangka kembali pulih petang ini sekiranya kerja-kerja penyambungan talian penghantaran di Menara T313, Kampung Sagindai Lama berjalan lancar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar.
Beliau berkata, kerja-kerja pemulihan kini hampir mencapai 70 peratus dengan lima daripada enam konduktor berjaya direntangkan setakat jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, satu lagi konduktor dijangka disiapkan sebelum jam 3 petang, sekali gus membolehkan talian sambung tara East-West diaktifkan semula bagi memulihkan bekalan elektrik ke Pantai Timur.

“Insya-Allah yang saya katakan tadi itu, kalau siap, Pantai Timur akan kembali bersinar dan bercahaya, insya-Allah. Akan kembali stabil,” katanya ketika ditemui media pada sesi sidang media di tapak Menara T313, di sini, hari ini.
Menurutnya, pengaktifan semula talian itu dijangka membolehkan kira-kira 150 megawatt bekalan disalurkan ke Pantai Timur, sekali gus menyediakan lebihan kapasiti sekitar 50 megawatt dan menghentikan catuan bekalan.
“Kerja-kerja pemulihan itu membabitkan 148 tenaga kerja, terdiri daripada 64 warga kerja Sabah Electricity dan 84 kontraktor.