NABAWAN: Seorang guru wanita bersama tujuh pelajar perempuan berdepan detik cemas apabila terkandas akibat banjir di Kampung Pamunterian, di sini, ketika dalam perjalanan pulang selepas menyertai lawatan sambil belajar di Kundasang, hari ini.
Bagaimanapun, kesemua lapan mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan bot penyelamat sebelum dipindahkan ke Asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pamunterian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Azran Jull berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.01 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 2.23 petang dan mengesahkan berlaku banjir di kawasan berkenaan.
“Operasi pemindahan membabitkan seorang guru wanita dewasa dan tujuh pelajar perempuan yang berada dalam perjalanan pulang selepas mengikuti lawatan sambil belajar di Kundasang.
“Kesemua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat ke Asrama SK Pamunterian menggunakan sebuah bot penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan membabitkan lima anggota dari BBP Nabawan dengan bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, operasi pemindahan selesai pada jam 4.27 petang selepas pihaknya memastikan semua mangsa berada dalam keadaan selamat dan keadaan di lokasi terkawal.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya selepas tiada keperluan untuk tindakan lanjut, namun pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.