Sabah mahu jadi pencipta karya, bukan sekadar lokasi penggambaran – Nizam

KOTA KINABALU: Sabah mahu mengubah persepsi terhadap negeri ini daripada sekadar lokasi penggambaran kepada sebuah negeri yang mampu melahirkan karya dan bakat kreatif sendiri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Sabah mempunyai kekuatan tersendiri untuk membangunkan industri kreatif menerusi bakat, budaya, cerita serta keunikan lokasi yang dimiliki.

Katanya, penghasilan telemovie “Aku, Kau & Dia” terbitan Del Films Production membuktikan penggiat kreatif tempatan mampu menghasilkan karya berkualiti yang mempunyai nilai komersial dan berpotensi menembusi pasaran lebih luas.

“Bagi saya, kejayaan menghasilkan karya seperti ini membawa makna lebih besar daripada penerbitan sebuah telemovie semata-mata.

“Ia membuktikan bahawa penggiat kreatif dari Sabah mempunyai kemampuan, bakat dan potensi untuk menghasilkan karya yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tayangan Khas Telemovie “Aku, Kau & Dia” di Hilton Hotel Kota Kinabalu, pada Khamis.

Menurut Nizam, Sabah tidak kekurangan bakat dalam industri kreatif termasuk penulis, pelakon, pengarah, penerbit, jurukamera, editor serta tenaga teknikal.

Katanya, peluang dan ruang perlu terus diperluaskan supaya bakat tempatan bukan sekadar terlibat dalam produksi, tetapi mampu menghasilkan serta menerajui karya sendiri.

“Kita mahu melihat lebih banyak kandungan yang lahir dari Sabah, bukan sekadar karya yang dibuat di Sabah, tetapi karya yang membawa cerita, identiti dan bakat Sabah kepada khalayak yang lebih luas,” jelasnya.

Nizam berkata, industri kreatif turut berpotensi menjana ekonomi negeri kerana setiap produksi melibatkan pelbagai sektor sokongan termasuk tenaga teknikal, pengangkutan, penginapan, makanan, peralatan dan pemilik lokasi.

Pada masa sama, beliau berkata filem, drama dan telemovie boleh menjadi medium memperkenalkan Sabah kepada penonton luar menerusi keindahan alam semula jadi, budaya, makanan serta kehidupan masyarakat tempatan.

Beliau turut menggalakkan golongan muda menceburi industri kreatif yang menawarkan peluang dalam pelbagai bidang termasuk penulisan skrip, penyuntingan, sinematografi, muzik, animasi, reka bentuk grafik, pemasaran dan pengurusan produksi.

“Sasaran lebih besar adalah untuk melahirkan anak Sabah yang mampu menjadi pemilik idea dan karya serta menerajui produksi mereka sendiri.

“Kita mempunyai lokasi, kita mempunyai cerita, kita mempunyai budaya dan yang paling penting, kita mempunyai bakat.

“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi pengguna karya. Kita mahu Sabah menjadi pencipta karya,” ujarnya.

Nizam turut merakamkan tahniah kepada Del Films Production, barisan pelakon, kru produksi serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan telemovie berkenaan.