KOTA KINABALU: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dijangka menerima tambahan satu unit jentera skylift pada tahun ini bagi memperkukuh kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan pentadbirannya.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Maijol Mahap berkata, pihak MPS telah menyediakan peruntukan bagi pembelian jentera berkenaan dan proses perolehan kini sedang dilaksanakan.
Menurut beliau, kelulusan serta pembekalan satu unit skylift tersebut dijangka dapat diperoleh dalam tahun 2026 bagi membantu menangani kekurangan aset berkenaan di MPS.
“Pihak MPS telah menyediakan peruntukan untuk pembelian satu unit skylift bagi kerja-kerja penyelenggaraan.
“Proses perolehan telah dilaksanakan dan dijangka kelulusan serta pembekalan dapat diperoleh dalam tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata, sementara menunggu proses kelulusan dan pembekalan jentera baharu tersebut, MPS mengambil langkah sementara dengan menyewa skylift bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Tambahnya, penyediaan aset tambahan itu penting bagi meningkatkan kecekapan operasi penyelenggaraan, khususnya melibatkan kerja di kawasan tinggi yang memerlukan penggunaan jentera khas.