TAWAU: Seorang pengawal keselamatan mengaku membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun kerana takut dibuang kerja selepas berlaku kejadian kecurian di tempat kerjanya, awal bulan lalu.
Liman Ismail, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa memberi maklumat palsu kepada pegawai penyiasat Inspektor Nurul Amira Razali dengan mendakwa dirinya menjadi mangsa samun, sedangkan dia mengetahui kejadian itu tidak berlaku.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pegawai Penyiasat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira 9.44 malam, pada 7 September 2026
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan yang dibuat tertuduh kira-kira 8.40 malam pada hari sama, mendakwa dia menjadi mangsa kejadian samun.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kejadian samun yang dilaporkan itu sebenarnya tidak pernah berlaku dan tertuduh kemudian mengaku bahawa laporan berkenaan adalah palsu.
Ketika ditanya Majistret mengenai sebab dia membuat laporan palsu itu, tertuduh berkata dia takut dibuang kerja selepas berlaku kejadian kecurian di tempat kerjanya, selain tidak mengetahui kejadian berkenaan kerana ketika itu dia tertidur.
Peguam Jhasserry P Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dalam rayuannya memaklumkan anak guamnya menyesal, insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak membuat laporan palsu.
Mahkamah kemudian menerima pengakuan salah tertuduh dan memerintahkan dia menjalani Perintah Kehadiran Wajib PKW) di bawah Seksyen 5(1) Akta Kehadiran Wajib Pesalah 1954.
Tertuduh diperintahkan menghadiri Pusat Kehadiran Wajib di Tawau empat jam setiap hari selama enam bulan, selain dikenakan bon RM1,000 tanpa deposit dengan dua orang penjamin tempatan.