Enam individu ditahan susulan pergaduhan di restoran

LAHAD DATU: Seramai enam individu ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan membabitkan kira-kira lapan hingga 10 individu di sebuah restoran di Darvel Bay, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Haji Ismail berkata, kejadian kira-kira jam 3 petang pada 24 Oktober itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua pekerja restoran berkenaan.

Menurutnya, perselisihan faham itu kemudian mencetuskan kekecohan dan pergaduhan di Restoran Fook Yuen.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, seramai enam individu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Polis masih meneruskan siasatan, termasuk mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dzulbaharin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang bertentangan dengan undang-undang.

Beliau turut meminta orang ramai tidak menyebarkan spekulasi, maklumat tidak disahkan atau video berkaitan kejadian itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.