KIMANIS: Seorang lelaki berusia 50 tahun maut selepas tercampak keluar dari lori tiga tan yang membawa muatan besi dalam kemalangan jalan raya di Jalan Keningau-Kimanis, di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 1.07 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis ke lokasi kejadian.
Ketua BBP Kimanis, Nelson Ponji berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 1.27 tengah hari dan mendapati sebuah lori tiga tan yang membawa muatan besi terbabas.
“Pemandu lori berkenaan dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan akibat kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, tiada operasi menyelamat dijalankan kerana kehadiran pihak bomba adalah atas permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada mangsa lain terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang membabitkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.07 petang selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
PDRM dan KKM turut berada di lokasi bagi membantu mengendalikan kejadian berkenaan.