TAWAU: Dua remaja dalam kes rogol berasingan masing-masing diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Kedua-duanya turut diperintah menghadiri bengkel yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Keputusan bagi kedua-dua kes dibacakan secara berasingan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin yang bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, selepas laporan akhlak kedua-dua remaja daripada JKM diperoleh.
Dalam kes pertama, remaja berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Dia didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun satu bulan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kijang, Merotai Besar, pada kira-kira 4.30 petang, 19 April 2026,
Mahkamah kemudian memerintahkan remaja berkenaan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selain menghadiri bengkel anjuran JKM.
Remaja itu diwakili peguam Jhesseny P Kang.
Bagi kes kedua, seorang remaja berusia 16 tahun yang juga pelajar Tingkatan Empat mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) kanun sama.
Dia didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sebuah hotel bajet di pusat bandar di sini, antara kira-kira 3.30 petang hingga 6 petang, 26 Julai lalu.
Mahkamah turut memerintahkan remaja berkenaan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan serta menghadiri bengkel anjuran JKM.
Remaja itu tidak diwakili peguam.
Kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun.
Kedua-dua remaja sebelum ini telah membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan masing-masing, namun keputusan ditangguhkan sementara menunggu laporan akhlak daripada JKM.
Perintah berkenaan dibuat mengikut Seksyen 91(1) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas mahkamah mempertimbangkan perkara yang dikemukakan dalam prosiding masing-masing.