TENOM: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) 2026 menarik kira-kira 25,000 pengunjung dalam tempoh dua hari sejak Jumaat, mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap sektor pertanian, penternakan dan perikanan negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata kira-kira 8,000 pengunjung direkodkan pada hari pertama, manakala 17,000 lagi dianggarkan hadir pada hari kedua di Padang Pekan Tenom dan Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom.
“Program itu menghimpunkan peladang, penternak, nelayan dan penoreh getah dari seluruh Sabah, selain memberi peluang kepada mereka berkongsi pengalaman serta pengetahuan dengan masyarakat.
“Kita juga menerima kira-kira 240 pengusaha gerai, bukan sahaja daripada agensi kerajaan dan swasta, tetapi juga industri makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian HPPNS yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang diwakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, kelmarin.
Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pembantu Menteri I dan II MAFFI, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts. Jifrin Hj Mohamad; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.
HPPNS turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah dengan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia bagi membangunkan tanah terbiar untuk penanaman padi, dengan nilai dianggarkan RM17.5 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hingga 2030.
Jamawi berkata kerjasama antara agensi Persekutuan dan negeri itu diharap dapat memberi manfaat kepada pengusaha padi di Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas peruntukan RM15 juta kepada Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah tahun ini bagi memenuhi keperluan jentera pertanian, termasuk untuk membajak, menanam dan menuai padi.
Katanya, penyediaan jentera berkenaan diharap dapat meningkatkan minat golongan muda untuk meneruskan kegiatan pertanian.
Dalam pada itu, kementeriannya merancang mengusahakan sawah padi terbiar di Kota Belud dan Kota Marudu menerusi pendekatan ladang mini (mini estate), dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta syarikat yang berminat menguruskan kawasan berkenaan.
Beliau berkata pembangunan tanaman rumbia di Beaufort dan jagung di Kota Marudu turut akan dipergiat dalam RMK13, selain meneruskan usaha memulihkan sawah padi terbiar.
Tambah beliau, penganjuran HPPNS di kawasan luar bandar memberi peluang kepada masyarakat tani mendapatkan maklumat terkini serta menimba ilmu daripada agensi kerajaan dan pengusaha pertanian yang berjaya.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah masyarakat luar bandar. Mereka memerlukan program seperti ini untuk mendapatkan ilmu dan mengetahui perkembangan dalam sektor pertanian,” ujarnya.
Dalam pada itu, kementeriannya turut merancang meneruskan program seumpama itu di kawasan luar bandar sehingga 2029, dengan Beaufort dicadangkan menjadi tuan rumah pada tahun depan.
Menurutnya, HPPNS juga berpotensi menarik lebih ramai pelancong menerusi kerjasama dengan pengusaha pelancongan, sekali gus merancakkan ekonomi masyarakat setempat.
Beliau berkata Beaufort mempunyai potensi mengembangkan industri rumbia sebagai sumber makanan, selain memperkasakan pengusaha akuakultur, termasuk penternak udang dan ikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata sambutan terhadap pakej perjalanan kereta api ke Tenom sempena HPPNS amat menggalakkan sehingga menyebabkan kesesakan ketika orang ramai mendapatkan tiket.
Katanya, perkara itu di luar kawalan kementerian kerana perkhidmatan kereta api dikendalikan Jabatan Keretapi Negeri Sabah yang turut berdepan kekangan kapasiti.
Beliau berharap kapasiti perkhidmatan berkenaan dapat ditingkatkan bagi menyokong Tahun Melawat Tenom 2027, yang antara tarikannya ialah pengalaman perjalanan menggunakan kereta api.
Jamawi berharap sambutan terhadap HPPNS menunjukkan potensi pelancongan berasaskan pertanian dan pengalaman tempatan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan luar bandar Sabah.