RM200 juta kepada SDBank bukan ‘bailout’, MoF Sabah sangkal Shafie

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan tindakan menukar deposit tetap berjumlah RM200 juta di Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares/RPS) bukanlah satu bentuk ‘bailout’ seperti didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Mohd Ishak Ayub berkata, kerajaan negeri tidak menyalurkan dana baharu kepada SDBank kerana wang berjumlah RM200 juta itu sememangnya telah didepositkan di institusi kewangan berkenaan.

Menurutnya, penukaran deposit kepada RPS bertujuan memperkukuh asas modal SDBank, selain membolehkan kerajaan negeri menikmati pulangan dividen tahunan sebanyak 3.15 peratus, bersamaan kira-kira RM6.3 juta setahun.

“SDBank dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah. Jika bank itu dibiarkan gagal, kerajaan berisiko menanggung kira-kira RM3 bilion dalam bentuk bon tertunggak dan liabiliti lain.

“Justeru, langkah ini adalah pengurusan risiko kewangan yang berhemat dan bertanggungjawab, bukannya satu tindakan ‘bailout’,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sejak separuh kedua 2023, lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDBank telah melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk menangani kelemahan tadbir urus, mengiktiraf kemerosotan nilai aset legasi serta melaksanakan program transformasi secara menyeluruh.

Katanya, meskipun langkah itu menyebabkan kerugian dalam jangka pendek, ia berjaya meningkatkan ketelusan dan memberikan gambaran lebih tepat mengenai kedudukan kewangan sebenar bank berkenaan.

Mohd Ishak turut memaklumkan bahawa instrumen hutang SDBank masih mengekalkan penarafan AA1/Stable/P1 daripada RAM Ratings, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan bank itu memenuhi obligasi kewangannya.

Dalam masa sama, beliau berkata, kutipan tunai daripada Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) ketika pentadbiran Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanya berjumlah RM260 juta dalam tempoh dua tahun.

Sebaliknya, katanya, pengurusan semasa SDBank berjaya memperoleh semula kira-kira RM3.3 bilion secara tunai sejak Julai 2023 walaupun mewarisi portfolio NPL legasi yang besar.

Mengulas dakwaan terhadap Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP), Mohd Ishak berkata, syarikat itu juga bukan menerima ‘bailout’, sebaliknya berjaya dipulihkan menerusi proses penstrukturan semula yang berdisiplin.

Menurutnya, langkah itu melibatkan penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM900 juta serta pemindahan 10 peratus pegangan ekuiti SIP dalam LNG9 kepada SMJ Energy sehingga membolehkan syarikat berkenaan bebas hutang dan mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbanding kepentingan rakyat.

Katanya, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan turut menyediakan peruntukan besar bagi projek loji rawatan air, rumah pam, jalan raya, jambatan, bekalan air luar bandar, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

“Kerajaan akan terus membuat keputusan yang bertanggungjawab bagi melindungi kewangan Sabah, memelihara aset strategik negeri serta menjamin kepentingan jangka panjang rakyat Sabah,” katanya.