KOTA KINABALU: Dakwaan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa penukaran deposit tetap Kerajaan Negeri berjumlah RM200 juta kepada Redeemable Preference Shares (RPS) di Sabah Development Bank (SDB) merupakan satu bentuk ‘bailout’ menggunakan wang rakyat adalah tidak berasas.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, dakwaan itu sekali lagi memperlihatkan kecenderungan Shafie membangkitkan naratif sensasi yang tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Menurutnya, sebelum ini Shafie turut mengaitkan Sabah International Petroleum (SIP) dengan skandal 1MDB, namun dakwaan berkenaan sudah dijawab secara terbuka oleh kerajaan negeri berdasarkan fakta serta penjelasan rasmi.
“Langkah penukaran deposit tetap kepada RPS bukan suntikan dana baharu menggunakan wang rakyat, sebaliknya sebahagian daripada pelan pemulihan dan transformasi SDB bagi memperkukuhkan kedudukan modal institusi kewangan milik kerajaan negeri.
“Ia adalah penstrukturan semula aset sedia ada kerajaan negeri daripada bentuk deposit tetap kepada instrumen ekuiti keutamaan yang berpotensi memberikan pulangan dividen pada masa hadapan, di samping meningkatkan keupayaan SDB menyokong pembangunan ekonomi Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azrul berkata, penggunaan instrumen kewangan dan penstrukturan korporat bukan sesuatu yang baharu dalam pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, ketika menerajui kerajaan negeri, pentadbiran Shafie sendiri menggunakan instrumen pasaran modal menerusi Program Sukuk sehingga had RM10 bilion oleh Sabah Development Berhad (SD Berhad) sebagai mekanisme pembiayaan pembangunan negeri.
“Persoalannya, mengapa apabila pentadbiran beliau menggunakan instrumen kewangan, ia dianggap sebagai strategi fiskal yang wajar.
“Tetapi apabila kerajaan negeri hari ini melaksanakan penstrukturan kewangan yang sah, telus dan berpandukan prinsip tadbir urus yang baik, ia pula cuba dilabel sebagai ‘bailout’?” katanya.
Menurutnya, sebagai pemimpin pembangkang, Shafie sememangnya berhak mengkritik kerajaan, namun setiap kritikan sewajarnya berasaskan fakta, konteks dan tanggungjawab terhadap kepentingan Sabah.
Katanya, naratif yang tidak tepat hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur, menghakis kepercayaan terhadap institusi kewangan milik negeri serta memberi gambaran yang tidak benar mengenai kedudukan ekonomi Sabah.
“Rakyat Sabah berhak mendengar perbahasan yang berpaksikan fakta, bukannya persepsi. Mereka mengharapkan idea, penyelesaian dan dasar yang mampu memajukan negeri, bukan polemik yang hanya mencetuskan kekeliruan.
“Persaingan politik akan sentiasa wujud, namun kepentingan Sabah mesti sentiasa mengatasi kepentingan politik jangka pendek demi memastikan kestabilan ekonomi dan pembangunan negeri terus terpelihara,” katanya.