KOTA KINABALU: Isu pemilikan unit rumah di 1Borneo bukan berpunca daripada projek perumahan terbengkalai, sebaliknya melibatkan pertikaian kontrak antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan pihak pemaju, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renndan.
Menurut beliau, pertelingkahan berkenaan merupakan perkara yang melibatkan hubungan kontraktual antara kedua-dua pihak, justeru menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikannya melalui rundingan, mediasi atau saluran perundangan yang bersesuaian.
“Projek perumahan 1Borneo merupakan projek yang telah siap dibangunkan dan isu yang berbangkit tidak melibatkan projek perumahan terbengkalai.
“Oleh yang demikian, perkara ini tidak termasuk dalam keadaan yang membolehkan Pengawal Perumahan mengambil tindakan campur tangan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan bagi tujuan pemulihan projek perumahan terbengkalai,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Datuk Azhar Matussin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kementerian sentiasa bersedia memberikan kerjasama serta bantuan yang sewajarnya sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan atau memerlukan bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing.
Katanya, sebarang bantuan akan disalurkan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.