Kabulongou Earth Initiative bawa dimensi baharu pelancongan lestari Nabawan

KOTA KINABALU: Daerah Nabawan bakal mempunyai tarikan pelancongan lestari baharu menerusi pelancaran Kabulongou Earth Initiative, sebuah inisiatif yang menggabungkan pelancongan, agroforestri dan pemuliharaan hutan bersama komuniti setempat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jaffry Arifin berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dan agro pelancongan di kawasan pedalaman Sabah.

“Di Nabawan pula, Lembaga Pelancongan Sabah menyokong pelancaran Kabulongou Earth Initiative, sebuah produk pelancongan baharu yang menggabungkan pelancongan lestari, agroforestri dan pemuliharaan hutan melalui kerjasama dengan komuniti setempat.

“Inisiatif ini merupakan kerjasama antara pengusaha pelancongan swasta dan tiga komuniti setempat bagi memulihkan kawasan hutan seluas 1,000 ekar melalui pendekatan agroforestri, silvikultur dan pelancongan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Khamis.

Katanya, pembangunan produk pelancongan komuniti menjadi pendekatan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar secara mampan.

Selain Kabulongou Earth Initiative, kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah turut memberi tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan baharu menerusi peningkatan kemudahan pelancongan, latihan pembangunan kapasiti, pembangunan pakej pelancongan, pemasaran serta promosi.

Dalam masa sama, usaha memperkenalkan produk pelancongan pedalaman Sabah turut diperluaskan menerusi program lawatan suai kenal (Familiarisation Trip) bersama persatuan pelancongan yang berjaya menghasilkan pakej pelancongan baharu berasaskan komuniti dan agro pelancongan di Keningau serta Tenom.

“Pakej tersebut kini dipromosikan menerusi platform pelancongan seperti MATTA Fair dan ITE Hong Kong bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan pedalaman Sabah,” tambahnya.

Tambah beliau, pembangunan pelancongan berasaskan komuniti seperti Kabulongou Earth Initiative bukan sahaja berperanan sebagai tarikan pelancongan baharu, malah membuka ruang kepada komuniti tempatan untuk terlibat secara langsung dalam pemeliharaan alam sekitar serta menjana sumber ekonomi alternatif.