KOTA KINABALU: Projek pembinaan Kompleks Sukan Tongod dijangka mula dilaksanakan pada September 2026 dan mengambil tempoh pelaksanaan selama lapan bulan untuk disiapkan, selepas Kementerian Kewangan meluluskan syarikat yang akan melaksanakan projek berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MYSpaCE), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihak kementeriannya kini dalam proses mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat yang telah diluluskan.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan di tapak akan dimulakan sebaik sahaja syarikat berkenaan menerima tawaran tersebut serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat tawaran.
“Bagi menjawab pertanyaan Ahli Yang Berhormat Kuamut dan makluman Dewan Yang Mulia ini, Kementerian Kewangan sudah meluluskan nama syarikat yang akan melaksanakan projek sambungan Kompleks Sukan Tongod.
“Pihak kementerian saya dalam proses untuk mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat yang telah diluluskan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Khamis.
Pembangunan Kompleks Sukan Tongod dijangka memberi kemudahan lebih baik kepada komuniti setempat, khususnya golongan belia dan atlet daerah berkenaan untuk menjalankan aktiviti sukan serta program pembangunan bakat.