KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual yang didakwa membabitkan seorang pengarah di sebuah hospital di ibu negeri.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil.
“Memang PDRM telah menerima laporan ini sebelum ini dan telah pun menjalankan siasatan ke atas kes ini. Siasatan masih berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata, walaupun dakwaan itu mula tular di media sosial sejak semalam, polis telah mengambil tindakan lebih awal sebaik menerima laporan.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran kes kerana siasatan masih di peringkat awal.
Sebelum ini, tular rakaman video Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming yang menggesa dakwaan gangguan seksual dan buli membabitkan kakitangan sebuah hospital di Kota Kinabalu disiasat secara menyeluruh.
Dalam rakaman itu, beliau turut menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan individu yang didakwa menjadi mangsa terus terpelihara.
Sehubungan itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.
Katanya, PDRM Sabah akan memaklumkan perkembangan lanjut kepada orang ramai sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan kes berkenaan.